Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, sebaliknya sistem berkenaan lebih kepada menjadi pengukur elemen Kecerdasan Intelektual (IQ) hanya untuk sebahagian daripada mereka.
Menurutnya, penilaian murid tidak semestinya dibuat melalui ujian berkenaan sebaliknya perlu lebih meluas tanpa memfokuskan kepada aspek intelektual semata-mata, malah merangkumi pendidikan lebih seimbang.
"Matlamat sebenar UPSR diperkenalkan adalah untuk menilai tahap kemampuan murid, namun lama-kelamaan ia semakin tersasar dan digunakan sebagai penanda aras kecemerlangan sekolah.
"Bagi saya UPSR tidak mengukur pun tahap akademik murid tetapi ia untuk IQ sebahagian murid iaitu dalam kadar lima peratus sahaja yang memperoleh kecemerlangan dengan mendapat 5A atau 6A.
"Sedangkan 20 hingga 30 peratus yang tertinggal di belakang tiada siapa pun yang ambil tahu. Sedangkan matlamat kita untuk memastikan semua murid mampu menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) dengan baik sebelum melangkah ke sekolah menengah,” katanya.
Fouzi berkata, dasar yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika ini melalui Ujian Akhir Sesi Akademik dilihat mencukupi.
"KPM juga perlu lebih aktif mempromosikan dasar atau program yang sedang dilaksana dan dalam perancangan di pelbagai saluran media.
"Ia perlu bagi memberi lebih pengetahuan dan kefahaman kepada penjaga khususnya ibu bapa mengenai dasar atau polisi pendidikan negara yang sedang dan bakal berjalan,” katanya.