PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengarahkan semua ketua jabatan melaksanakan pusingan kerja di organisasi masing-masing mulai Oktober ini sebagai inisiatif Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.
JPA dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu adalah usaha bagi memastikan setiap kementerian dan jabatan berupaya meningkatkan penyampaian perkhidmatan secara optimum dan berkesan selari dengan Surat Edaran Pelaksanaan Urusan Pusingan Kerja yang dikeluarkan JPA pada 14 Mei lalu.
Jelasnya, langkah itu elemen penting dalam pengayaan dan peluasan tugas yang menyumbang kepada kemajuan kerjaya pegawai awam dari segi peningkatan kompetensi, pengalaman dan motivasi.
“Selain itu, pusingan kerja ini dapat membendung dan menangani masalah prestasi kerja, ketirisan dana awam, penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah.
“Justeru, semua Ketua Jabatan hendaklah memandang serius terhadap pelaksanaan pusingan kerja di kementerian atau jabatan masing-masing,” katanya.
Pada 15 Mei lalu, dalam satu pekeliling ditandatangani oleh Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, mewartakan bahawa ketua jabatan boleh menggunakan dua dasar sebagai panduan dalam urusan pertukaran supaya pusingan kerja teratur dan seragam.
Ia adalah menukarkan pegawai yang berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun tetapi tidak melebihi lima tahun di sesuatu jawatan diklasifikasikan sebagai sensitif.
Ketua jabatan juga boleh menukar pegawai yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun tetapi tidak melebihi lapan tahun di sesuatu jabatan yang diklasifikasikan sebagai bukan sensitif.
Jelas kenyataan itu, ketua jabatan perlu mengenal pasti dan melaksanakan pusingan kerja terhadap pegawai yang wajar ditukarkan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan sentiasa dinamik dan menepati kehendak semasa.
“Kegagalan dalam melaksanakan pusingan kerja boleh disifatkan sebagai cuai dalam melaksanakan tugas dan tidak bertanggungjawab.
“Ketua jabatan boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993],” katanya.
JPA berkata, pihaknya percaya tindakan ini akan menjadi peringatan kepada semua pegawai awam tentang kepentingan melaksanakan tugas dan mematuhi arahan ditetapkan.
“JPA akan terus memantau dan menilai pelaksanaan pusingan kerja ini untuk memastikan matlamat yang diharapkan tercapai,” katanya. – UTUSAN