“Saya kehilangan seorang pelajar yang rajin” - Guru Kelas

NORHIDAYAH gagal menahan sebak apabila menceritakan semula kenangan bersama pelajarnya, Muhammad Rosman (gambar kecil) yang ditemukan lemas.

Padang Terap: "Saya kehilangan seorang pelajar yang baik dan rajin.

"Kali terakhir bertemu dengan Muhammad Rosman, pagi semalam ketika dia menaiki motosikal bersama ibunya kira-kira 30 minit sebelum tragedi itu berlaku dan itulah kali terakhir saya nampak dia ," kata Norhidayah Shaari, 40.

Norhidayah adalah guru kelas yang mengajar Muhammad Rosman selama tempoh enam tahun ini.

Menurutnya, Muhammad Rosman, 19 adalah orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dan mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK Padang Terap, di sini.

Katanya, dia terkejut dan tidak menyangka apabila menerima berita pelajar dihanyutkan arus deras.

"Sebaik tiba di lokasi, saya sempat tengok Rosman dan ibunya hilang sambil menyebut namanya beberapa kali.

"Saya sebut... "Timbullah Rosman, timbul cepat sebelum walau dalam apa jua keadaan sekalipun".

"Alhamdulillah, tidak sampai 10 minit mayat Rosman berjaya dijumpai pasukan penyelamat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Menurutnya, dia ternampak dua beranak itu menaiki motosikal sewaktu dia dalam perjalanan ke sekolah untuk melihat projek cendawan yang diusahakan mereka.

"Dalam hati saya berkata, awalnya dua beranak ini keluar tanpa memikirkan perkara lain.

"Tidak lama kemudian saya diberitahu Rosman dan ibunya dihanyutkan arus deras banjir," katanya yang gagal menahan kesedihan.

Norhidayah berkata, dia juga berjanji akan mencari pekerjaan yang sesuai untuk Muhammad Rosman sekiranya tamat sekolah nanti.

Katanya, semuanya itu tinggal kenangan buatnya malah akan simpan kenangan dan gambar arwah sampai bila-bila.

"Memang arwah Rosman sangat baik.. minta tolong apapun dia akan tolong.. memang sedihlah rasa," katanya.

 

Previous Post Next Post