Reformasi kerajaan diharap tidak kurangkan manfaat guru - NUTP

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang. Foto NSTP.

KUALA LUMPUR: Manfaat dan kebaikan sedia ada dalam profesion perguruan khasnya laluan kenaikan pangkat berasaskan masa (time-based) diharap tidak dikurangkan melalui pembaharuan lebih besar yang ingin dilaksanakan kerajaan.

Menyuarakan harapan itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berkata selaras dengan cabaran semasa, sudah pasti kualiti perkhidmatan guru yang kini sememangnya terbaik perlu ditingkatkan lagi tahapnya.

Mengulas lanjut katanya, peningkatan kualiti itu melalui pembaharuan berkenaan, adalah penting bagi memenuhi tuntutan keperluan semasa dan bagi tempoh akan datang.

"NUTP menyokong langkah kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan dalam perkhidmatan awam namun kita berharap supaya reformasi yang bakal dilaksanakan nanti tidak mengurangkan kebaikan dan manfaat sedia ada dalam profesion keguruan.

"Manfaat dan kebaikan itu termasuklah laluan kenaikan pangkat secara 'time-based' guru atau laluan 8863," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memberi gambaran, September sebagai bulan pergerakan dan 'reform' atau pembaharuan lebih besar dalam kalangan kakitangan awam.

Perdana Menteri menegaskan, semua pihak perlu berusaha untuk meningkatkan kecekapan ke tahap 95 peratus.

Pada masa sama, Aminuddin berkata, hasrat kerajaan untuk melakukan reformasi sudah pasti bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik daripada penjawat awam.

Beliau berkata, dalam konteks perguruan bagi memastikan pendidikan Malaysia terus mampu bersaing di peringkat dunia.
Previous Post Next Post