Perkasakan Ujian Akhir Sesi Akademik, tak perlu kembalikan UPSR, PT3 - Kesatuan Guru


JERANTUT: Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mahu Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) diperkasa dan diperkemaskan bagi memastikan pengujian setiap murid lebih berkesan dalam pelaksanaan pentaksiran pada peringkat sekolah rendah dan menengah rendah di seluruh negara.

Langkah itu dilihat sebagai lebih baik berbanding tindakan memperkenalkan kembali peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang sudah dimansuhkan.

Presiden KGMMB, Juhari Mohamad Nor, berkata UASA adalah ujian dilaksanakan sebagai sebahagian Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah (PBD) secara sumatif yang diadakan pada akhir kalendar akademik untuk menguji kemahiran kognitif dan intelektual serta penguasaan murid dalam setiap subjek dinilai.

"Ketika ini UASA dilaksanakan pada peringkat sekolah rendah bagi murid Tahap Dua iaitu Tahun Empat, Lima dan Enam dengan menekankan kepada lima subjek teras iaitu Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI), Matematik, Sains dan Sejarah, berdasarkan soalan disediakan secara berpusat.

"Selain itu, subjek lain diajar pada peringkat sekolah rendah Tahap Dua turut diberi perhatian dan soalan disediakan pada peringkat sekolah masing-masing," katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas gesaan pihak tertentu yang mahu peperiksaan UPSR dan PT3 dimansuhkan sebelum ini diadakan semula.

Johari menyifatkan, pentaksiran menerusi peperiksaan UASA di sekolah rendah dan menengah rendah, lebih holistik dan menyeluruh kerana merangkumi kemahiran literasi asas, numerasi asas dan kemahiran lainnya.

"Kalau dibandingkan UPSR sebelum ini, hanya subjek BM, BI, Matematik dan Sains saja dan secara tidak langsung subjek lain diajar dikesampingkan.

"Manakala UASA sekolah menengah rendah pula menitik berat kepada enam subjek iaitu BM, BI, Matematik, Sains, Sejarah dan Pendidikan Islam bagi murid Islam serta subjek Moral bagi murid bukan Islam yang disediakan secara berpusat," katanya.

Katanya, selain enam subjek teras sekolah menengah rendah, subjek seperti Geografi, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Punjabi, Bahasa Iban, Bahasa Kadazandunsun dan Bahasa Semai turut diberi perhatian.

"Turut diuji, Asasi Sains Komputer, Reka Bentuk dan Teknologi, Maharat al-Quran, Usul Al-Din, Al-Syariah, Al-Lughah, Al-'Arabiah dan Al-Mu'asirah turut diuji kepada murid terbabit.

"Ujian ini (UASA) mempunyai peranan sangat penting dalam menentukan kejayaan pelajar, sama ada mereka dapat meneruskan ke peringkat seterusnya atau tidak," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), berkata UASA memberi peluang murid atau pelajar menunjukkan pengetahuan, kebolehan dan kemahiran yang dipelajari sepanjang sesi akademik itu.

"Ujian ini biasanya merangkumi soalan mencabar dan berdasarkan kurikulum yang dipelajari dalam tempoh sesi akademik berkenaan.

"Biasanya, ujian ini membabitkan soalan objektif seperti pilihan berganda dan soalan subjektif seperti esei dan karangan, ini memberikan peluang pelajar menunjukkan pengetahuan dan kebolehan mereka dalam mengaplikasikan konsep yang dipelajari dalam sesi akademik itu," katanya.

Juhari berkata, UPSR dimansuhkan pada 28 April 2021 dan memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pada tahun itu.

"Pentaksiran PT3 turut dimansuhkan pada 1 Jun 2022 dan memperkenalkan pelaksanaan PBS pada sesi akademik sesi 2022/2023 bagi menggantikan peperiksaan akhir tahun sedia ada.

"Oleh itu, KGMMB berharap UASA diteruskan dengan memperkasakan sistem pelaksanaannya dengan lebih mudah difahami semua pihak," katanya.

Sementara itu, beberapa guru dihubungi tetapi tidak mahu identiti disiarkan, mahukan UPSR dan PT3 diadakan semula tetapi subjek dinilai atau ditaksir diperluaskan terutama UPSR yang sebelum ini hanya menilai subjek BM, BI, Matematik dan Sains.


Previous Post Next Post