Pekeliling SSPA: Pegawai awam diberi tempoh opsyen 40 hari bermula 21 Okt

Penjawat awam - Imej hiasa Bernama


PUTRAJAYA: Pegawai awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari bermula 21 Okt hingga 30 Nov ini untuk memilih sama ada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM), sebelum ia berkuat kuasa 1 Dis ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pelaksanaan SSPA tidak akan menjejaskan pencen pegawai awam yang berstatus tetap dan pelarasan gaji baharu hanya terpakai kepada pegawai awam yang memilih opsyen SSPA sahaja.

"Pelaksanaan dan perincian seperti pelarasan gaji dan urusan perkhidmatan menerusi SSPA akan dimulakan dengan sesi libat urus Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat di semua kementerian dan jabatan bagi membolehkan para pengurus sumber manusia mendapat pencerahan sewajarnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dengan pelaksanaan SSPA, kerajaan berharap agar aspirasi reformasi perkhidmatan awam akan terus diperkasakan dengan menyemai sikap taat setia dalam kalangan pegawai awam serta mampu memberikan khidmat yang terbaik dalam memacu kesejahteraan negara dan rakyat secara keseluruhannya.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 (Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan)  boleh diakses melalui portal www.sspa.jpa.gov.my bermula hari ini.- BERNAMA 

Muat Turun Pekeliling SSPA di SINI

Previous Post Next Post