TAWAU - [DIKEMAS KINI] Ahli keluarga seorang remaja perempuan merayu orang ramai untuk mengesan Nur Humaira Syafiqah Naldi, 15, yang hilang sejak Jumaat lalu.
Menurut kakaknya Ayu, 39, berkata, kali terakhir adik bongsunya itu dilihat di rumah mereka di Kampung Tanjung Keramat, di sini.
"Kali terakhir adik dilihat di rumah pada jam 5 pagi subuh.
"Laporan polis sudah dibuat semalam bagi mengesan adik yang hilang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Katanya lagi, dia berharap adiknya dapat ditemui semula dan meminta supaya berita itu diuar-uarkan ke seluruh Sabah.
"Mohon bantuan orang ramai untuk mengesan Nur Humaira Syafiqah yang telah hilang.
"Panjangkan berita ini ke Kota Kinabalu juga dan jika ada sesiapa yang terjumpa adik saya, mohon hubungi saya di talian 014-9144654 atau suami saya di talian 0149144653," katanya.
Sebelum itu, berita kehilangan Nur Humaira Syafiqah tular di media sosial selepas kakaknya memuat naik di Facebook.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin mengesahkan ada menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu pada Ahad.
"Polis buka kertas siasatan orang hilang dan usaha mengesan remaja tersebut sedang dibuat," katanya.