KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menawarkan Pengambilan Khas Sarawak 2024 untuk mengisi lebih 1,000 kekosongan jawatan guru di seluruh negeri ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha tersebut penting untuk menyelesaikan isu kekurangan guru di Sarawak susulan kesemua 30 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mempunyai kekosongan jawatan itu.
Katanya, enam senarai teratas melibatkan Serian, Daro, Kapit, Subis, Saratok, dan Betong, masing-masing yang mana masing-masing mempunyai lebih 100 kekosongan.
“Ia termasuk guru mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Moral, Prasekolah, Bahasa Melayu, dan Pemulihan serta kekosongan dalam 22 pilihan mata pelajaran lain, termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media untuk menangani isu kekurangan guru di Sarawak dan inisiatif pengambilan guru baharu di Sarawak Skills, di sini, semalam.
Tambahnya, permohonan untuk pengambilan khas yang melibatkan lulusan ijazah sarjana muda itu juga akan dibuka bermula 1 Ogos, hari ini.
“Ke semua pemegang ijazah sarjana muda yang berminat boleh membuat permohonan menerusi laman web MySPP secara dalam talian dan calon yang layak menjalani Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) untuk menilai perwatakan, personaliti, minat, kesesuaian, kesihatan psikologi dan mental seseorang itu.
“Kemudian mereka akan menjalani temu duga secara bersemuka pada minggu kedua September 2024 dan keputusan permohonan anda akan diumumkan pada Oktober atau November 2024,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan calon yang berjaya akan menerima kontrak selama dua tahun serta program Diploma Pendidikan dengan pembiayaan peribadi di Institut Pendidikan Guru (IPG) menerusi Kursus Dalam Cuti (KDC).
“Selepas berjaya memperolehi Diploma Pendidikan, mereka juga berpeluang ditawarkan jawatan guru tetap. Ini adalah beberapa jaminan baik.
“Pengambilan khas ini mengutamakan calon dari kawasan yang terdapat kekosongan. Oleh itu, saya menggalakkan anak Sarawak yang mempunyai ijazah sarjana muda dari institusi awam atau swasta, dan masih menganggur, untuk merebut peluang ini,” jelasnya.
Dalam hal berkaitan, Sagah memberitahu bahawa pengambilan itu juga penting kerana berdasarkan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) negeri ini dijangka akan menghadapi 2,373 kekurangan guru menjelang 31 Disember kelak.
“Jadi dengan usaha penempatan guru baharu menerusi program khas ini kami menjangkakan antara Julai hingga November tahun ini, sebanyak 1,130 kekosongan dapat dikurangkan,” tegasnya.
Sementara, beliau menyatakan bahawa MEITD dan JPNS juga akan mengadakan jerayawara di seluruh Sarawak bagi mempromosikan kekosongan jawatan tersebut.
“Jerayawara ini akan meliputi PPD yang menyediakan maklumat menyeluruh berhubung pengambilan mereka sekali gus akan memberi panduan kepada calon untuk bertanya soalan dan sebagainya,” ujar beliau.