KUALA NERUS: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata peruntukan kepada sekolah akan disalurkan mengikut keperluan dan keutamaan masing-masing.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa peruntukan kerajaan untuk sekolah jenis kebangsaan (SJK) adalah lebih besar berbanding sekolah kebangsaan (SK).
"Tidak betul. Setiap sekolah ada keperluan dan keutamaan masing-masing. Sebab itu, sepanjang saya menjadi Menteri Pendidikan...peruntukan itu (sama ada) untuk penyelenggaraan dan pembangunan adalah berdasarkan keperluan sebenar.
"Jika SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) perlukan (sejumlah peruntukan), kita akan menilai. Begitu juga dengan SK atau SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempori Pengakap MADANI peringkat kebangsaan tahun 2024 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Fadhlina memberi jaminan bahawa pihaknya akan berlaku adil kepada semua sekolah kerana peruntukan menurutnya adalah asas dalam pendidikan, khususnya untuk memastikan akses pendidikan terbaik boleh disalurkan kepada murid.
Dalam perkembangan berasingan, Fadhlina menyeru sekolah untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi memastikan semua kakitangan termasuk murid tidak terdedah kepada sebarang bentuk ancaman luar.
"Soal keselamatan sekolah memang keutamaan kita. Sekolah mesti selamat untuk semua yang berada di dalamnya. Sebab itu, kami komited untuk menyediakan kawalan keselamatan di sekolah...termasuk pengawal keselamatan dan pentadbiran sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden seorang guru besar sekolah agama di Kelana Jaya, Selangor dan seorang lagi wanita yang cedera diserang lelaki bersenjatakan pisau rambo, semalam sambil mengesahkan pihaknya sedang memantau kejadian tersebut dengan teliti untuk memastikan ia tidak berulang.
Pada masa sama, beliau turut meminta ibu bapa supaya lebih memantau pergerakan anak-anak susulan insiden seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang menyamar sebagai petugas Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang dan menawarkan diri untuk membantu menjalankan pembedahan, Khamis lepas.
"Apa yang berlaku sangat mengejutkan. Siasatan masih berjalan, dan pihak yang terlibat, termasuk ibu bapa, perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya. Saya percaya kejadian ini tidak akan berlaku jika ada pemantauan ketat dari ibu bapa."
"Status remaja tersebut, sama ada masih lagi pelajar sekolah atau tidak sedang dikenal pasti," katanya.
-- BERNAMA