Murid pengsan selepas hisap vape bebas ujian dadah - Polis

Imej hiasan


KUALA TERENGGANU: Tiada bahan terlarang dan kesan dadah dalam rokok elektronik atau vape yang dihisap seorang murid sehingga tidak sedarkan diri, akhir bulan lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata pihaknya sudah menerima laporan daripada Jabatan Kimia Selasa lalu dan mendapati, tiada kesan dadah atau bahan terlarang dalam tubuh murid Tingkatan Empat dari sebuah sekolah menengah di Kemaman.

"Keadaan murid itu, stabil tetapi masih menerima rawatan di hospital kerana menghidap penyakit sawan," katanya selepas Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri, di pekarangan Wisma Persekutuan, di sini, hari ini.

Pada akhir bulan lalu, media melaporkan seorang murid dilaporkan tidak sedarkan diri selepas dipercayai menghisap vape, 22 Julai lalu.

Mohd Khairi berkata, berdasarkan laporan Jabatan Kimia, murid itu tidak boleh disabitkan dengan kesalahan termasuk dikenakan tindakan di bawah Akta Dadah.

"Walaupun kes murid menghisap vape sehingga tidak sedarkan diri dianggap sebagai kes terpencil, polis akan perketatkan pemantauan dan pemeriksaan di semua premis menjual bahan itu di seluruh negeri.

"Dalam beberapa operasi yang diadakan di premis menjual vape sebelum ini, kita merampas cecair yang mengandungi bahan terlarang," katanya yang turut mengesahkan pengusaha premis berkenaan sudah diambil tindakan mengikut Akta Dadah.

Previous Post Next Post