Mayat tidak sempurna sah Cikgu Istiqomah, yang hilang lapan bulan lalu

Suspek kes bunuh Cikgu Istiqomah direman oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad


MELAKA: Kehilangan seorang guru wanita di Johor Bahru sejak lapan bulan lalu, akhirnya terjawab selepas polis mengesahkan mayat tidak lengkap ditemui di sini pada 31 Disember tahun lalu, dikenal pasti sebagai Istiqomah Ahmad Rozi, 33.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata pengesahan itu dibuat hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan, mendapati ia sepadan dengan mangsa yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu.

Beliau berkata, risikan Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Polis Alor Gajah berjaya menahan sepasang suami isteri, berusia 36 dan 37 tahun.

"Pasangan yang ditahan di Chemor, Perak telah dibenarkan reman selama tujuh hari bermula 6 Ogos lalu dan polis akan mohon sambung reman hari ini terhadap suspek lelaki yang ditahan,

"Siasatan terhadap kedua-dua suspek membawa penemuan sebahagian anggota badan termasuk tulang jari dan bahagian kepala tidak jauh dari lokasi penemuan anggota badan dalam jarak kira-kira lima hingga enam kilometer (KM) dari tempat pertama mayat mangsa ditemukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Gambar pada Januari lalu menunjukkan anggota polis masih mencari anggota badan mangsa yang hilang. - Foto PDRM

Ashari berkata, guru wanita yang mempunyai tiga anak itu, dipercayai mengenali suspek lelaki dan terbabit dalam urusan pelaburan, manakala isterinya tidak mengenali mangsa.

"Kedua-dua individu yang ditahan telah dibenarkan reman selama tujuh hari bermula 6 Ogos lalu dan pihak polis akan mohon sambung reman hari ini terhadap suspek lelaki yang ditahan," katanya lagi.


Guru, Istiqomah Ahmad Rozi, 34, hilang sejak 26 Disember 2023.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-5562222.

Pada 31 Disember tahun lalu, mayat seorang wanita ditemukan tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki dalam tong sampah di longkang tepi jalan Alor-Gajah-Tampin, berhampiran Kampung Rimau, Pulau Sebang kira-kira jam 2 petang.

Mayat seorang wanita yang tidak sempurna ditemui dalam longkang tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Alor Gajah, Disember tahun lalu. - Foto PDRM


Lokasi mayat seorang wanita ditemukan tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki dalam tong sampah di longkang tepi jalan Alor-Gajah-Tampin, berhampiran Kampung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, Disember tahun lalu. - Foto PDRM


Ketika itu, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan anggota badannya iaitu kepala, tangan dan kaki dipotong sebelum disumbat dalam tong sampah dan dibuang ke longkang di tepi jalan berkenaan.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya

Ketika itu, hanya bahagian badan ditemukan dengan kepala, kedua-dua tangan dan kaki dari paras lutut ke bawah dipercayai dipotong, selain terdapat sehelai kain merah di bawah mayat.

Selain itu, tiada juga identiti ditemukan pada mayat dianggarkan berusia 20 hingga 30-an itu, namun pakar patalogi mengesahkan mangsa seorang wanita.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan mula mereput dan sudah kering serta disyaki meninggal dunia antara tempoh tujuh hingga 10 hari ketika ditemui.

Ketika itu, polis turut menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas dua kes orang hilang dalam tempoh sebulan lalu, namun keputusannya negatif.

Previous Post Next Post