SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disarankan untuk memperhalusi isu silibus tinggi dalam bentuk tindakan dan ukuran pencapaian lebih jelas serta mudah difahami murid sekolah rendah.
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, usaha kepada penyelesaian masalah tersebut banyak bergantung di peringkat pentadbiran sekolah.
Menurutnya, ia berikutan KPM mengeluarkan surat pekeliling bagi memberikan autonomi kepada guru-guru menentukan sendiri pelaksanaan silibus di sekolah.
“Surat pekeliling ini memberi hak untuk guru menentukan sendiri secara autonomi pelaksanaan kurikulum yang merangkumi aspek kandungan kurikulum, pedagogi dan pentaksiran.
“Malah, di dalam pekeliling yang sama, KPM telah mengingatkan pengetua dan guru besar (PGB) supaya memberikan kerjasama kepada guru.
“Pada saya, dalam isu silibus ini KPM telah pun melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik. Cuma perlu diperhalusi dalam bentuk tindakan dan ukuran pencapaian yang lebih jelas dan mudah difahami,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, KPM mengumumkan pelaksanaan empat intervensi kurikulum bagi menangani isu keciciran pembelajaran.
Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, pihak berkenaan memandang serius terhadap kegusaran yang diutarakan ibu bapa dan masyarakat.
Ujar beliau, seperti aras kurikulum yang tinggi, kandungan kurikulum kurang sesuai dengan usia murid, pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang sukar difahami dan ibu bapa tiada akses untuk mendapatkan pelaporan PBD.
Anuar yang juga Setiausaha Kluster Pendidikan dan Modal lnsan daripada Majlis Profesor Negara mengakui empat intervensi berkenaan bertujuan sebagai penyelesaian isu silibus yang padat dan banyak.
Katanya, usaha sudah dilaksanakan, namun tindakan atau hasil masih kurang jelas kerana masyarakat tidak nampak kesan terhadap penjajaran (pengurangan) kurikulum.
“Adakah guru dibenarkan mengurangkan sehingga 50, 40 atau 10 peratus kandungan silibus? Tanpa ukuran yang objektif, sukar untuk kita mengukur kejayaan sebenar penjajaran silibus. Malah guru sendiri tidak pasti berapa banyak pengurangan kandungan silibus yang mereka boleh lakukan.
“Usaha KPM sudah ada, tetapi tindakan sahaja yang kurang jelas. Akhirnya penjajaran seperti itu tidak berkesan. Sebab itu, masyarakat terus mendesak hingga sekarang. Mereka tak nampak kesan intervensi penjajaran kurikulum,” jelasnya.