Howard (tiga, kiri) berkata inisiatif ini adalah hasil siri perbincangan bersama beberapa SBK di Daerah Kinta yang berdepan dengan kos bil elektrik yang tinggi. -Facebook |
IPOH: Pejabat Ahli Parlimen Ipoh Timor dengan kerjasama badan pemikir dan advokasi Malaysia100 mengumumkan pelancaran projek rintis pemasangan panel fotovoltaik (PV) di Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) di kawasan Ipoh, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Menurut Ahli Parlimen Ipoh Timor Howard Lee Chuan How, inisiatif ini adalah hasil siri perbincangan bersama beberapa SBK di Daerah Kinta yang berdepan dengan kos bil elektrik yang tinggi.
Antara sekolah yang terlibat perbincangan awal adalah SRJK Sam Chai, SRJK Sam Tet, dan SMJK Sam Tet dengan kerjasama GSPARX Sdn Bhd, anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menerusi perbincangan ini, GSPARX menawarkan pelbagai pilihan menarik, termasuk pelan sifar modal (CAPEX) dan pemasangan berbilang fasa, pelaburan terus, dan lain-lain yang berpotensi menjimatkan sehingga 20 peratus daripada bil elektrik semasa.
“GSPARX menyediakan pilihan sifar CAPEX di bawah Skim Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) yang melibatkan pemasangan panel solar di atas bumbung sekolah.
“Dengan anggaran kapasiti sistem sebesar 178 kWp, dua sekolah pertama dijangka dapat menjimatkan sekitar RM30,729 pada tahun pertama dan RM2,206,424 dalam tempoh 20 tahun,” kata Howard.
Tambah beliau, pihaknya kini sedang mengumpulkan sehingga 15 sekolah di daerah Kinta dengan sasaran penjanaan berkelompok sebanyak 1 megawatt tenaga solar.
Pemasangan projek panel solar sebesar ini bakal mencatatkan pelaburan sebanyak RM3 juta, serta berpotensi memberi penjimatan bil tenaga tahunan sebanyak RM200,000.