Ibu bapa, guru digesa galak anak, murid mengambil peluang inisiatif pendidikan

(Dari kiri) Jimali, Dr Annuar, Mariam dan Ahmad Fauzi bersama tetamu lain mendengar perkongsian mengenai inisiatif pendidikan Kerajaan Sarawak yang disampaikan oleh Donald di Miri hari ini


MIRI: Ibu bapa dan guru digesa menggalakkan anak serta pelajar sekolah untuk mengambil peluang daripada segala inisiatif pendidikan yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak demi masa depan mereka.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee berkata kementeriannya kini dalam rangka untuk mendekati golongan ibu bapa dalam usaha memartabatkan pendidikan Sarawak.

“Kerajaan kini sedang dan akan melaksanakan banyak inisiatif pendidikan untuk anak-anak Sarawak, antaranya ialah penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran, penubuhan Yayasan Sarawak International Secondary Schools (YSISS), pendidikan tinggi percuma di universiti milik Sarawak mulai 2026 dan bantuan tuisyen dinamakan Program Pemantapan Pendidikan Sarawak (SEEP).

“Oleh itu, harapan saya agar masyarakat khususnya anak-anak perlu mengambil peluang segala insiatif ditawarkan Kerajaan Sarawak agar tidak tersisih dan ketinggalan dalam memajukan diri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sesi Perkongsian Inisiatif Pendidikan Kerajaan Sarawak Kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengurusan Sekolah Daerah Miri di Dewan Al-Khawarizmi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Miri, petang tadi.

Hadir sama Ketua Bahagian Pendidikan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Donald Henry Nohed, Pegawai Pendidikan Daerah Miri Mariam Monek, Pengetua YSISS Jimali Sunang dan Pengetua SMK Agama Miri Ahmad Fauzi Yaakob.

Terdahulu, Dr Annuar memberitahu program tersebut pertama kali diadakan di Sarawak dan Miri dipilih sebagai lokasi pertama penganjurannya.

“Tujuannya ialah supaya kementerian mendekati ibu bapa dalam proses kita untuk memartabatkan pendidikan.

“Tanggungjawab ibu bapa tidak dinafikan amat penting dalam usaha kita memartabatkan pendidikan Sarawak, oleh itu usaha ini berterusan dan kita bercadang untuk pergi ke tempat-tempat lain di seluruh Sarawak,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri menekankan pentingnya pendidikan supaya dapat melahirkan generasi berilmu pengetahuan di Sarawak seterusnya dapat memajukan wilayah ini.

Utusan Borneo

 

Previous Post Next Post