Imej hiasan |
PUTRAJAYA, 7 Ogos 2024 – Isu berkaitan kutipan derma oleh pihak sekolah semakin mendapat perhatian di negara kita kebelakangan ini. Persoalan yang timbul adalah mengapa sekolah perlu mencari atau mengharapkan derma? Adakah peruntukan untuk sektor pendidikan yang diumumkan setiap tahun dalam Belanjawan negara tidak mencukupi untuk menampung pengurusan sekolah?
Sekolah seharusnya diberi tumpuan penuh kepada usaha mendidik pelajar, bukan dibebankan dengan isu kutipan derma. Dalam Belanjawan 2024, sebanyak RM58.7 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, menjadikannya penerima peruntukan terbesar berbanding sektor-sektor lain. Jika peruntukan ini disalurkan dengan betul kepada setiap sekolah, tidak perlu lagi pihak sekolah bersusah payah mencari atau mengharapkan derma, sekaligus membolehkan mereka fokus sepenuhnya kepada pendidikan.
Namun, soalan penting yang harus ditanya adalah adakah peruntukan ini mencukupi? Jika tidak, berapakah jumlah sebenar yang diperlukan oleh setiap sekolah di negara ini untuk menampung kos operasi mereka? Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menaikkan lagi peruntukan bagi sektor pendidikan dalam sesi pembentangan Belanjawan 2025 dan seterusnya.
Tambahan pula, dalam Belanjawan akan datang, kerajaan harus memperuntukkan dana khusus untuk memperbaiki proses pembelajaran dalam talian. Walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaannya, kita tidak seharusnya mengetepikan pembelajaran dalam talian sepenuhnya dari sistem pendidikan negara.
Menurut Profesor Madya Dr. Muzeiffar Syah Mallow, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), usaha meningkatkan peruntukan pendidikan adalah langkah penting bagi memastikan sekolah tidak terbeban dengan isu kutipan derma. Dengan peruntukan yang mencukupi, sekolah boleh memberi tumpuan penuh kepada mendidik pelajar, seterusnya mempertingkatkan kualiti pendidikan negara.