Wajibkan Pendidikan 12 Tahun Mampu Atasi Keciciran

Imej hiasan 


Kuala Lumpur, 6 Julai 2024 – Kerajaan perlu mewajibkan pendidikan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menangani isu keciciran pembelajaran di peringkat menengah, yang jika gagal diatasi, dikhuatiri akan memberi impak besar kepada rakyat dan negara. 

Pandangan ini disuarakan oleh pakar pendidikan yang mencadangkan sistem persekolahan negara diwajibkan selama 12 tahun, bermula dari peringkat prasekolah. Menurut bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mat Dom, keciciran pelajar pada peringkat menengah akan memberi impak besar kepada rakyat dan negara. 

“Jika pelajar tercicir, kemungkinan besar mereka tidak akan mengambil SPM, ini satu kerugian. SPM umpama pasport untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti matrikulasi, diploma, dan sebagainya. Tanpa SPM, akan ada halangan dalam aspek pekerjaan dan pendapatan,” katanya kepada Berita Harian semalam. 

Alimuddin menekankan bahawa reformasi pendidikan perlu mendapat sokongan semua pihak supaya semua pelajar dapat menyelesaikan peringkat persekolahan rendah dan menengah, sekali gus menangani isu keciciran pembelajaran. 

Beliau menambah bahawa guru perlu memainkan peranan dalam menjalankan kempen dan memberi hala tuju kepada pelajar selepas tamat belajar. Selain itu, kaunselor juga perlu membantu pelajar yang kurang minat belajar dengan mengadakan kempen mengenai hala tuju kerjaya mengikut minat dan aliran yang diambil mereka. 

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad turut mengesyorkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewajibkan pendidikan 12 tahun, bermula dari prasekolah sehingga SPM bagi menyelesaikan masalah keciciran pelajar. 

Menurut beliau, negara maju sudah lama melaksanakan pendidikan wajib selama 11 tahun, ada sesetengah negara mewajibkan sembilan tahun pendidikan, iaitu enam tahun sekolah rendah dan tiga tahun sekolah menengah. 

Dr. Anuar menambah bahawa reformasi pendidikan sudah lama dibincangkan namun sehingga kini belum ada garis masa dan perincian yang jelas. Beliau berpendapat bahawa langkah mewajibkan pendidikan prasekolah seawal usia enam tahun akan turut membantu menyelesaikan masalah keciciran murid. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dipetik berkata bahawa antara tumpuan dalam reformasi pendidikan termasuk dasar pendidikan wajib yang ketika ini hanya mewajibkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah rendah, menyebabkan ada pelajar tidak menyambung pendidikan menengah dan tidak memiliki SPM. Kementerian Pendidikan juga menggariskan perlunya perubahan membabitkan Penstrukturan Sistem Prasekolah, Intervensi Kurikulum, Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

Selain itu, reformasi pendidikan akan membabitkan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) serta memperkukuhkan Dasar Pendidikan Digital (DPD) bagi manfaat seluruh pelajar di negara ini. 

Menurut Akta Pendidikan 1996, Seksyen 29A(2) mewajibkan ibu bapa menghantar anak mengikuti pelajaran rendah selama enam tahun. Jika gagal, ibu bapa boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

 



Sumber artikel: Berita Harian
Previous Post Next Post