Reformasi silibus bukan ‘permudahkan’, tapi nak bagi relevan dan seronokkan murid



BANGI, 25 Zulhijjah 1445H, Selasa – Desakan supaya reformasi silibus Sains dan Matematik sekolah rendah dilakukan, bukan bermaksud kita mahu mempermudahkan atau meringankan silibus. 

Hakikatnya, reformasi pada silibus bermaksud menjadikan mata pelajaran Sains dan Matematik relevan, sejajar, menyeronokkan dan sesuai dengan kepelbagaian tahap keupayaan murid. 

Demikian penjelasan Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan UKM, Dr Anuar Ahmad berhubung cadangannya sebelum ini supaya kerajaan melakukan reformasi terhadap kurikulum, silibus dan PDPc mata pelajaran Matematik dan Sains bermula dari sekolah rendah. 

Tindakan itu katanya, boleh membuatkan minat murid dalam aliran sains tulen meningkat. 

Beliau tidak menafikan, banyak masalah yang timbul sekarang termasuk silibus terlalu padat dan kelas yang terlalu sesak. 

Ini membuatkan guru tidak banyak peluang untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran yang boleh menarik minat dan mengembirakan murid-murid, katanya. 

“Matlamat paling utama, sepatutnya semakin lama murid-murid belajar Sains dan Matematik di sekolah rendah, semakin tinggi keinginan mereka untuk terus mendalami ilmu tersebut. 

“Apa yang sedang berlaku sekarang mendukacitakan. Semakin hari murid belajar Sains dan Matematik, semakin ‘takut’ pula mereka dengan dua subjek tersebut,” katanya.

 

Previous Post Next Post