Reformasi Pendidikan: Mengapa Budaya Kreatif dan Inovatif Gagal Berakar?

Imej hiasan



KUALA LUMPUR - Dr. Anuar Ahmad, seorang pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mengkritik keras sistem pendidikan negara yang masih terpaku pada ujian konvensional yang membatasi kreativiti dan inovasi pelajar. 

Menurut beliau, pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan pendekatan berfikir yang kritis masih terhambat oleh persekitaran peperiksaan yang rigid.

Anuar menegaskan bahawa dalam lingkungan yang memaksa ini, usaha untuk memupuk budaya berfikir kreatif dan inovatif hanya akan menjadi kegagalan.

"Bagaimana mungkin kita mahu melihat budaya berfikir yang kreatif dan inovatif berkembang di kalangan pelajar jika mereka terus dipaksa berfikir dalam batasan yang sedia ada?" soal beliau dalam satu kenyataan di Facebook.

Menurut beliau, kebanyakan pelajar masih terikat kepada menjawab soalan-soalan skematik semata-mata untuk mencapai kejayaan dalam ujian. Ini telah membunuh semangat kreativiti dan inovasi di kalangan generasi muda.

"Jawapan di luar jangkaan atau yang melampaui struktur yang telah ditetapkan sering dianggap sebagai 'salah', walaupun sebenarnya ia mungkin membawa pandangan yang baru dan segar," tambahnya.

Anuar turut menyatakan bahawa walaupun program seperti KBAT dan Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) telah diperkenalkan, namun budaya berfikir yang kreatif dan inovatif masih belum berkembang secara organik dalam proses pembelajaran negara kita. Ini menandakan bahawa perubahan sebenar dalam sistem pendidikan masih jauh dari capaian.

 

Previous Post Next Post