Pencegahan Dadah Tidak Perlu Silibus Baharu

Cadangan ini muncul selepas Ahli Parlimen Gombak, Amirudin Shari, mengusulkan dalam sidang Dewan Rakyat Khamis lalu agar silibus mencegah dadah diajar di sekolah


Petaling Jaya, 8 Julai 2024 – Cadangan untuk mewujudkan silibus baharu khusus bagi pencegahan dadah di sekolah tidak diperlukan kerana ia boleh menambah beban kepada pelajar, demikian menurut Timbalan Pengerusi Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad. 

Dr. Anuar menegaskan bahawa isu gejala sosial melibatkan remaja sememangnya perlu diberi perhatian dalam pendidikan, namun tidak perlu ada silibus khusus yang memfokuskan kepada dadah.

"Penambahan silibus hanya akan meningkatkan bebanan pelajar dengan silibus sedia ada. Banyak isu yang perlu dipelajari anak-anak kita, tetapi kalau semua ini perlu silibus baharu, ia akan memberi satu beban yang tinggi pada mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Cadangan ini muncul selepas Ahli Parlimen Gombak, Amirudin Shari, mengusulkan dalam sidang Dewan Rakyat Khamis lalu agar silibus mencegah dadah diajar di sekolah. Amirudin menyatakan bahawa daripada 145,000 individu yang terlibat dengan dadah, 83,000 daripadanya mempunyai pendidikan peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan ke bawah. 

Sebaliknya, Dr. Anuar mencadangkan pendekatan lain melalui pengukuhan subjek berkaitan akhlak dan perbincangan dalam silibus yang sedia ada, seperti pendidikan Islam, pendidikan moral, dan subjek-subjek bahasa. 

"Perkara yang mesti dilakukan dalam sistem di peringkat sekolah rendah adalah memperkukuh ilmu pendidikan Islam dan moral dengan melibatkan isu-isu ini dalam pembelajaran. Kalau kita nak masukkan, maka letakkan di dalam pendidikan Islam dan moral. Kita juga boleh jadikan topik ini sebagai perbincangan dalam subjek bahasa Melayu dan Inggeris," tambahnya. 

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon, berkongsi pandangan yang sama. Menurut beliau, menjadikan pencegahan dadah sebagai satu silibus adalah tidak relevan. 

"Sekolah di Malaysia telah terlalu padat dan berat dengan subjek yang ada. Sekolah bukan tempat longgokan segala idea untuk mengatasi masalah sosial dan disiplin warganegara kita. Asas iman dan ilmu perlu diberikan sekurang-kurangnya mereka tahu kesan, bahaya dan kerosakan yang berlaku akibat penagihan itu," katanya. 

Pendekatan yang lebih menyeluruh dan bersifat integratif dalam pembelajaran sedia ada dianggap lebih sesuai dan praktikal dalam usaha membanteras gejala dadah dalam kalangan pelajar tanpa menambah bebanan kepada mereka.
Previous Post Next Post