Murid Tingkatan Dua hilang selepas dihantar ke sekolah

 


"Guru kelas beritahu Danish tidak hadir ke sekolah semalam (Ahad)," ujar kakak sepupu kepada Muhammad Effazaldanish Mohammad Effendy, 14, yang dilaporkan hilang sejak Ahad selepas dihantar ke sekolah oleh neneknya, lapor Sinar Harian.

Menurut kakak sepupunya yang hanya mahu dikenali sebagai Jaja, Muhammad Effazaldanish atau dipanggil Danish merupakan pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh.

Dia mengetahui kehilangan Danish selepas diberitahu oleh salah seorang sepupunya yang pulang ke kampung di Pagoh.

Difahamkan, ini merupakan kes pertama Danish dilaporkan hilang yang tinggal bersama neneknya sejak kecil.

“Memang tak pernah berlaku sebelum ini (tak balik rumah) sebab dia akan maklumkan kalau nak ke mana-mana, tapi semalam nenek beritahu Danish tak balik ke rumah.

“Selain itu, cikgu kelas dia ada WhatsApp kepada ayahnya yang tinggal di Tampin mengenai Danish yang tidak hadir ke sekolah semalam...jadi memang dia tidak ke sekolah.

“Ayahnya pun telah datang ke Pagoh dari Tampin dan laporan polis juga sudah dibuat terhadap kehilangan Danish di Balai Polis Pagoh,” jelas Jaja kepada Sinar Harian hari ini.

Tambahnya, sejak ibunya telah meninggal dunia, Danish telah menetap bersama neneknya di Pagoh, manakala bapanya kini tinggal di Tampin, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz turut mengesahkan kehilangan remaja lelaki itu selepas menerima laporan.

Beliau berkata, usaha mendapatkan maklumat daripada beberapa saksi sedang dilakukan dan kes kini dalam siasatan pihak polis.
Previous Post Next Post