Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meminta diberi lebih masa untuk menangani isu penempatan pelajar cemerlang SPM yang masih belum mendapat tempat dalam program matrikulasi.
Dalam kenyataan di Facebook, Fadhlina memberi jaminan semua pelajar yang mendapat keputusan 10A dalam SPM akan mendapat tempat untuk program matrikulasi.
"Jangan risau, tiada pelajar cemerlang yang akan tercicir. Beri sedikit masa dan saya berjanji penempatan pelajar cemerlang yang belum mendapat tempat akan dapat diselesaikan.
"Pada waktu ini KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi telah mengorak langkah dan mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan peluang untuk melanjutkan pengajian diberi kepada semua pelajar cemerlang SPM," katanya.
Pada 30 Jun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan semua pelajar yang mendapat 10A dalam SPM akan diterima masuk ke matrikulasi tanpa mengira kaum.
Susulan pengumuman ini, beberapa pemimpin politik dan NGO melaporkan bahawa masih terdapat pelajar seumpamanya yang gagal mendapat tempat di matrikulasi.
Program matrikulasi kini memperuntukkan 90 peratus tempatnya kepada pelajar bumiputera, dan baki 10 peratus lagi untuk bukan bumiputera.
Mengulas lanjut, Fadhlina menyifatkan pengumuman Anwar sebagai langkah berani untuk memastikan tiada pelajar cemerlang ketinggalan, pada masa sama menjaga hak pelajar bumiputera.
“Iltizam kerajaan Madani untuk memastikan hak bumiputera terus dipertahankan juga terbukti menerusi pengekalan kuota bumiputera sedia ada bagi program matrikulasi KPM,” katanya.
Pada Mei lalu, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan mendedahkan 11,713 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2023 memperoleh keputusan cemerlang dengan gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Pada 2019, kerajaan mengumumkan program matrikulasi mampu menampung 40,000 pelajar, berbanding 25,000 pada tahun sebelumnya.