KPM siasat sekolah Cina terima sumbangan syarikat arak



Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Sepang menerima sumbangan daripada syarikat minuman keras.

Menerusi satu kenyataan media, KPM, berkata pihaknya mengambil perhatian serius isu berkenaan.

KPM juga mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

“Namun ini perlu dilaksanakan berdasar kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018.

“Ia melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,” kata KPM dalam kenyataan hari ini.

Pada Ahad lalu, kontroversi tercetus apabila konsert amal pendidikan bertujuan membuat kutipan membina dewan sekolah itu yang didirikan sejak 30 tahun lalu apabila didapati, antara sumbangan tajaan adalah daripada sebuah syarikat arak.

Hadir sama pada program itu yang dirasmikan oleh Exco Selangor, Ng Suee Lim dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek, Lwi Kian Keong adalah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Aiman Athirah Sabu.

Mengulas lanjut, KPM berkata, ia mengalu-alukan usaha sekolah untuk menganjurkan program dan mendapatkan sumbangan bagi tujuan pembangunan selaras dengan inisiatif sekolah milik masyarakat.

Namun, ia perlu dilaksanakan berdasar peraturan dan syarat yang ditetapkan.

Menurut kenyataan itu lagi, KPM sentiasa proaktif menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda.

Katanya, pelbagai program kesedaran dan pendidikan pencegahan dianjurkan di sekolah bertujuan untuk memberi bimbingan kepada murid.

 Sumber: Malaysiakini

Previous Post Next Post