KPM guna sistem MOIES elak data diceroboh

 


KUALA LUMPUR: Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (MOIES) digunakan sepenuhnya bagi mengurus data skor Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) di sekolah bawah kementerian bermula sesi persekolahan 2023/2024. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) membangunkan MOEIS bagi memastikan kawalan dan integriti data selamat serta tidak mudah dicerobohi 

Katanya, sistem itu digunakan untuk pentadbiran maklumat sekolah kementerian sahaja. 

"Sebelum ini, KPM menggunakan sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) yang tidak memiliki kawalan kepada integriti data. Jadi kita bangunkan sebuah sistem yang bersepadu, ada integrasi bagi memastikan kawalan dan data ini tidak mudah dicerobohi dan kita dapat kawal data ini sepenuhnya khususnya untuk sekolah sekolah di bawah KPM. 

"Sehubungan itu, bagi sekolah selain di bawah pentadbiran KPM, laporan dan pengumpulan skor PAJSK murid perlu dikemukakan secara offline melalui templat seragam yang disediakan KPM untuk di hantar kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPI), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi tujuan tawaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA)," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berhubung prosedur terkait PAJSK berbeza bagi sekolah selain bawah Kementerian susulan masalah pelajar cemerlang yang tidak mendapat tempat di universiti pilihan pertama atau kemasukan ke SBP kerana markah PAJSK kosong dan apakah tindakan bagi kes seperti ini dan langkah penyelesaian daripada berulang. 

Fadhlina berkata, menyedari perubahan sistem semasa, KPM menyediakan templat seragam khusus untuk sekolah swasta dan luar KPM yang perlu diisi dan dikemukakan secara offline. 

Katanya, ia bagi memastikan skor PAJSK pelajar sekolah swasta dapat disediakan dan disalurkan kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA dan KPT bagi tujuan penawaran penempatan ke IPTA. 

"Buat sementara sebelum semua data dapat diintegrasikan dalam sistem sekolah selain di bawah KPM, ianya akan dibuat secara offline. 

"Walaupun ada isu berbangkit, KPM sudah mengambil semua susul tindak dan komited untuk memastikan semua markah PAJSK anak-anak ini dapat dipenuhi dan tiada keciciran," katanya. 

Katanya, KPM juga sedang memperbaiki dan menambah baik sistem berkenaan integrasi data di sekolah swasta dan di luar KPM. 

Menurutnya, inisiatif tindakan ini akan menambah baik kaedah pengumpulan dan penyaluran data skor PAJSK pelajar sekolah swasta dan luar KPM dengan menyediakan akses perekodan data PAJSK yang sama seperti sekolah bawah KPM. 

"Selain itu, KPM juga bekerjasama dengan pihak KPT bagi menyelaras data skor PAJSK supaya isu ini tidak lagi berbangkit di masa hadapan. 

"Jaminan yang saya akan bagi adalah tiada murid yang tercicir daripada data kita untuk masuk ke universiti," katanya.
Previous Post Next Post