Kompetensi digital guru pada tahap tinggi - KPM


KUALA LUMPUR: Seramai 360,365 guru telah menjalani ujian saringan Kompetensi Digital Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) setakat 30 Jun lalu, dengan kebanyakan warga pendidik didapati mempunyai tahap kompetensi yang tinggi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 23.53 peratus atau 84,818 orang memiliki tahap asas dan angka tersebut menurun dengan kebanyakan mereka melonjak ke tahap pertengahan.

Sementara itu, jelas beliau sebanyak 74.73 peratus atau 269,301 pendidik berada di tahap pertengahan setakat tempoh sama.

"Di tahap lanjutan sebanyak 1.73 peratus bersamaan dengan 6,246 orang. Ini adalah analisis setakat 30 Jun 2024.

"Demi untuk memastikan guru-guru dan pendidik kita yang dihantar ke negeri-negeri masing-masing kompeten dan dapat adaptasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP), maka Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) melaksanakan latihan kompetensi digital yang menjurus kepada domain kompetensi pembelajaran digital yang digariskan oleh The European Framework for the Digital Competence of Educators.

"Kesemua domain tersebut telah dijelma dalam bentuk kurikulum program pendidikan di IPGM Dan pihak KPM boleh memberikan komitmen bahawa kita dalam usaha untuk merealisasikan teras-teras seperti yang dinyatakan dalam Dasar Pendidikan Digital Negara," katanya pada sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang meminta penjelasan berhubung isu kemiskinan digital dalam kalangan guru dan perancangan strategi serta langkah jangka pendek dan jangka panjang KPM bagi meminimumkan jumlah kemiskinan digital.

Menjawab lanjut, Kah Woh (PH-Taiping) berkata satu pasukan petugas khas turut ditubuhkan untuk membangunkan pendidikan digital dan mencapai hasrat dalam Dasar Pendidikan Digital Negara.

Sementara itu menjawab soalan asal Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai berapa jumlah guru-guru di Sarawak yang telah dilatih untuk kompeten dalam mengaplikasikan teknologi digital PdP, Kah Woh berkata sehingga 15 Jun, sebanyak 774 aktiviti pembangunan profesionalisme berterusan berkaitan digital telah dilaksanakan.

Ia melibatkan seramai 81,791 guru di Sarawak, selain KPM dengan kerjasama Pixlr telah melatih 92 orang guru di negeri itu pada 23 Mei lalu bagi meningkatkan kompetensi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam PdP.

"Usaha meningkatkan tahap kompetensi digital PPP diteruskan melalui Program Pemantapan Pendidikan Digital PPP Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) iaitu langganan lesen Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) untuk membantu guru melaksanakan latihan kendiri secara dalam talian tanpa menganggu proses PdP di sekolah.

"Dari aspek penyediaan persekitaran digital kondusif, sebanyak 27 Pusat Kegiatan Guru dan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan di Sarawak telah dilengkapi dengan studio digital dan digital maker bub bagi memastikan latihan kepada guru berkaitan digital dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata KPM turut melantik 19 guru dari Sarawak sebagai Guru Peneraju Generasi Digital (GPGD) pada 2023.

GPGD, ujarnya telah diberi latihan oleh rakan strategik bagi kesediaan mereka menyebar luas pengetahuan dan pengalaman kepada guru-guru di sekitar mereka, dengan seramai 8,011 guru telah diberi bimbingan oleh GPGD di Sarawak.

Previous Post Next Post