Kolej Tingkatan 6 Premium diperkenal tahun depan - Fadhlina



Selayang: Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkenalkan Kolej Tingkatan Enam Premium, tahun depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program khusus dalam Tingkatan Enam Premium akan dilaksanakan bagi melihat Tingkatan Enam menjadi antara arus pendidikan utama pilihan pelajar bagi menyambung pengajian.

"Bagi meneruskan kegemilangan dan menyambut hasrat kerajaan melihat tingkatan enam menjadi antara arus pendidikan utama pilihan anak kita, inisiatif penting antara lain untuk pastikan satu program khusus akan kita laksanakan.

"Kolej Tingkatan Enam Premium, hasil silang kementerian antara KPM dan KPT ini, kita mulakan tahun depan akan memberi tumpuan kepada anak-anak Tingkatan Enam bagi memastikan mereka diberikan keutamaan dalam konteks untuk memastikan dari segi hala tuju dan meningkatkan mutu dan kualiti pendidikan di Tingkatan Enam," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pengumuman lanjut berkenaan inisiatif itu akan diumumkan selepas proses penyelarasan selesai dilakukan.

"Perkara ini masih dalam proses penyelarasan di peringkat KPT dan kita harap program itu mendapat kerjasama baik daripada semua pihak sebelum dilaksanakan pengambilan pertamanya tahun hadapan.

"Selain itu, penambahbaikan lain yang sedang diperhalusi KPM ialah pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam.

"Itu antara usaha kita untuk menjaga kebajikan mereka.

"Jadi, ia akan diteruskan termasuk mengangkat cadangan ini ke peringkat Belanjawan pada tahun ini," katanya.

 

Previous Post Next Post