Kerajaan negeri kenal pasti kelemahan, isu sekolah tidak laksanan HIP

Dr Annuar (kiri) menyampaikan sijil dan cenderamata kepada penceramah jemputan SELES pada majlis tersebut.


KUCHING: Kajian akan dilaksanakan untuk mengenal pasti isu dan kelemahan di sekolah yang tidak dapat melaksanakan Program Imersif Tinggi (HIP), kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa'ee. 

Dr Annuar menekankan peranan kritikal HIP yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan pada 2016 untuk mewujudkan persekitaran yang kaya dengan bahasa Inggeris untuk pelajar. 

Beliau turut mengakui perlunya pelaksanaan yang lebih baik dan mencadangkan bengkel komprehensif untuk menangani kelemahan itu, khususnya di sekolah luar bandar. 

“Kita telah membangunkan program komprehensif yang sangat baik, tetapi persoalan sekarang ialah pelaksanaan. 

“Ini melibatkan ketua sekolah (guru besar atau pengetua), guru-guru, pelajar termasuk masyarakat dan ibu bapa. Program HIP ini boleh berjaya sekiranya semua empat pihak berkepentingan bekerjasama,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penutupan Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris Sarawak (SELES) di Hotel Raia di sini, hari ini. 

Dr Annuar turut berhasrat untuk mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya HIP Sarawak dijadikan luar biasa berbanding HIP yang lain di Malaysia. 

“Sarawak memberi penekanan yang kuat terhadap bahasa Inggeris dan kita mesti menambah baik standard kita menerusi program komprehensif. 

“Saya boleh memberi jaminan bahawa usaha sedang dijalankan untuk melaksanakan program ini tidak lama lagi. 

“Tetapi sebelum itu, saya mencadangkan agar kita membuat tinjauan untuk menangani isu dan kelemahan di sekolah yang tidak dapat melaksanakan HIP dengan secukupnya,” katanya. 

Mengenai SELES, Dr Annuar berharap peserta mendapat pendedahan dan ilmu yang berharga daripada penceramah. 

Beliau turut menekankan kepentingan kecerdasan buatan (AI) dan keperluan untuk menerima teknologi baharu untuk memastikan kejayaan pelaksanaan program pendidikan. 

“Saya pasti manfaat daripada program ini akan diperluaskan kepada semua rakan sekerja anda yang tidak berada di sini, supaya persekitaran dalam kalangan guru khususnya di Zon Selatan Sarawak dan kemudiannya di Zon Tengah dan Zon Utara akan menjadi lebih kondusif. 

“Ini akan membantu persediaan untuk pelaksanaan HIP versi Sarawak dalam masa terdekat,” tambahnya.

 

Previous Post Next Post