Garis panduan sumbangan kepada sekolah kekal - Jemaah Menteri

Jemaah Menteri kekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah. (Gambar PMO)


PETALING JAYA: Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

Katanya dalam kenyataan, garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.

Pada masa sama, Jemaah Menteri mengambil pendirian untuk memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan, seperti mana yang diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Jemaah Menteri menegaskan penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh melibatkan pelajar Islam, tambahnya.

KPM dalam kenyataan sebelum ini mengingatkan pentadbir institusi pendidikan mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

Isu sumbangan syarikat minuman keras tercetus susulan tular gambar Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu, menghadiri suatu majlis kutipan dana di sebuah sekolah di Sepang.

Wakil rakyat Amanah itu menjelaskan beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program, yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.

Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar dilapor mengkritik Aiman dengan menyifatkan perkara itu memalukan.

Semalam, syarikat minuman keras di sebalik kontroversi itu menjelaskan ia tidak membuat sebarang sumbangan kepada sekolah, dan peranannya hanya melibatkan persembahan artis dalam program Chinese Education Charity Concert (CECC).

CECC merupakan pertubuhan yang membantu masyarakat mengumpul dana bagi menaik taraf kemudahan di sekolah Cina yang memerlukan bantuan.

 

Previous Post Next Post