'Usah gusar dengan pengumuman PMX'- Fadhlina



NIBONG TEBAL: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas dijamin mendapat tempat di mana-mana Matrikulasi seluruh negara, diharap tidak menimbulkan sebarang kegusaran terutamanya dalam soal kuota Bumiputera.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata ini kerana kuota itu dikekalkan dan pada masa sama memberikan peluang pendidikan lebih luas kepada semua pelajar cemerlang melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi tanpa mengira latar belakang dan kaum.

Oleh itu, beliau akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mengambil tindakan selanjutnya berkenaan pengumuman itu.

"Pertama, saya ucap terima kasih kepada PM atas pengumuman cukup penting dan significant (ketara) ketika ini, apatah lagi jaminan untuk mendapat dan meneruskan pengajian di peringkat tinggi untuk anak-anak cemerlang SPM tahun ini.

"Jadi inilah satu jaminan pendidikan yang diberikan oleh PM sendiri dan saya bersama Menteri KPT (Datuk Seri Zambry Abdul Kadir) akan bersama meneliti perkara ini.

"Kita akan susul tindak dengan pengumuman lain bagi menjamin pendidikan semua pihak tanpa kira latar belakang dan kaum.

"Tahniah anak-anak semua yang kita harapkan dengan jaminan ini tiada kegusaran terutamanya kuota (Bumiputera) dikekalkan dan pada masa sama peluang pendidikan itu cukup luas dan ia semua dapat tempat untuk melanjutkan pengajian masing-masing," katanya ketika diminta mengulas berhubung pengumuman yang dibuat Perdana Menteri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pemberita ketika menghadiri Bengkel Fisioterapi bersama masyarakat setempat di Simpang Ampat, Sungai Bakap, di sini, hari ini.

Terdahulu, kerajaan memberi jaminan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat Matrikulasi, bermula tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lalu itu tidak akan mengganggu kuota pelajar Bumiputera sedia ada.

Beliau berkata, perincian mengenai keputusan berani kerajaan itu dalam mengiktiraf kecemerlangan pelajar dan pada masa sama memberi keadilan di dalam sistem pendidikan negara akan dimaklumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek esok.

Previous Post Next Post