Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sebaliknya semua pihak perlu memahami dan mematuhi garis panduan yang digariskan di bawah dasar memartabatkan bahasa Melayu dan mengukuhkan bahasa Inggeris.
Menurutnya, pihak Kementerian melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) ketika ini sudah memulakan sesi libat urus dengan semua pihak berkaitan bagi menangani isu berkenaan dan mendapat reaksi yang sangat baik.
“Penegasan yang kita tegaskan adalah garis panduan itu mesti dipatuhi. Maka, sebab itulah sesi libat urus sangat penting dan pasca isu tersebut sebenarnya, JPN (Pulau Pinang) telah sekali lagi turun serta memberikan penjelasan.
“Malah, sesi libat urus tersebut juga merupakan proses berterusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang di sebuah taman tema air di Bertam di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Lembaga Sekolah serta PIBG daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) yang membantah pelaksanaan secara paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Ia berikutan sekolah separuh kerajaan jenis Cina itu mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah mereka menentang dasar itu dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas.
Justeru, mereka menggesa KPM mendengar bantahan, menghormati kehendak ibu bapa dan kembali kepada hasrat asal DLP dalam Sains serta Matematik. -KOSMO! ONLINE