Tidak perlu taasub sebar ranking sekolah - Ahli Akademik


PETALING JAYA: Hebahan kedudukan sekolah berorientasikan peperiksaan khususnya keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak wajar dinormalisasikan kerana dibimbangi mewujudkan persepsi negatif masyarakat, kata ahli akademik.

Merujuk penyebaran kedudukan sekolah mengikut keputusan SPM 2023 di media sosial baru-baru ini, Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata tindakan itu diihat tidak adil kerana penilaian harus merangkumi pelbagai aspek.

Katanya, penilaian harus merangkumi skor kemudahan infrastruktur, kejayaan kokurikulum, pengurusan sekolah serta prestasi guru yang tidak sama terutama antara sekolah di bandar dan pedalaman sehingga mewujudkan jurang.

“Sekolah dalam negara kita ada pelbagai, ada di bandar dan pedalaman…kemudahan juga tak sama, jadi bila keadaan tak setara, tak adil untuk kita letakkan ranking itu.

“Ini rosakkan persepsi masyarakat yang melihat sekolah di ranking rendah sebagai tak bagus tanpa lihat situasinya,” katanya kepada FMT mengulas trend segelintir pihak yang taasub dengan ranking sekolah berpandukan keputusan SPM.

Sebaik keputusan SPM 2023 diumumkan 27 Mei lalu, wujud senarai 20 sekolah cemerlang dalam peperiksaan itu berdasarkan gred purata sekolah (GPS) disebarkan di media sosial.

Berdasarkan senarai itu, Maahad Tahfiz Negeri Pahang pada kedudukan lima teratas dengan merekodkan 1.070 GPS diikuti Sekolah Sultan Alam Shah (1.073), Kolej Tunku Kurshiah (1.248), Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (1.255) dan Kolej Yayasan Saad (1.257).

SPM 2023 menunjukkan 93.5% atau seramai 349,297 calon layak mendapat sijil dengan 11,713 daripadanya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Mesej salah

Anuar berpendapat, hebahan kedudukan sekolah itu ‘tiada masalah’ jika dibuat seperti diamalkan di peringkat universiti yang lebih adil kerana ia berpandukan kemudahan, pencapaian serta program ditawarkannya.

“Bagi saya GPS ini boleh digunakan untuk pengurusan bagi tingkatkan skor pada peperiksaan masa depan dan buat penambahbaikan di sekolah khususnya sekolah pedalaman yang memerlukan perhatian lebih.

“Sekolah, pejabat pendidikan daerah dan negeri tak perlu umum kepada orang awam, gunakan data itu untuk perbaiki prestasi,” katanya yang juga timbalan pengerusi kluster reformasi pendidikan dan modal insan Majlis Profesor Negara (MPN).

Sementara itu, Hasnah Toran juga dari UKM berpendapat trend meletakkan kedudukan sekolah berdasarkan keputusan peperiksaan utama seperti SPM boleh memberi mesej salah kepada pelajar.

“Mesej sekarang pelajar kena belajar untuk dapat A supaya boleh hidup senang, tetapi kita kena tengok apa terjadi beberapa tahun kebelakangan ini ramai graduan menganggur kerana tiada ‘soft skills’ (kemahiran insaniah).

“Kita khuatir pendidikan masa ini akan lahirkan generasi pentingkan diri sendiri, sebab itu kena pastikan sekolah juga fokus kepadanya selain akademik, kerana kalau kita lahirkan ramai generasi yang pentingkan diri, negara tidak boleh pergi jauh,” katanya.

Artikel Asal: Free Malaysia Today

Previous Post Next Post