Sistem Pendidikan Islam perlu dirombak - IKRAM


PETALING JAYA: Sistem Pendidikan Islam perlu dirombak secara keseluruhan bagi merealisasikan hasrat melahirkan pewaris negara yang bermodalkan insan dan berakhlak tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan IKRAM, Prof. Dr. Omar Yaakob berkata, satu proses pembaharuan, penambahbaikan dan inovasi perlu dilakukan terhadap sistem pendidikan agama.

Namun, menurut beliau, usaha tersebut tidak boleh hanya kepada Pendidikan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) sahaja tetapi sistem Pendidikan Islam secara keseluruhan.

“Ini kerana kita mempunyai pelbagai sistem Pendidikan Islam yang dilaksanakan di bawah urus tadbir yang berlainan.

“Oleh kerana itu kita rombak dan menambahbaikkan keseluruhan sistem Pendidikan Islam justeru dapat melihat satu sistem pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Pendidikan dan Majlis Agama Negeri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, media melaporkan, sistem KAFA perlu sentiasa dinamik, progresif serta bersedia melalui proses perubahan seiring peredaran zaman.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini berkata, peranan sistem pendidikan tersebut sangat relevan dalam mendukung aspirasi pendidikan negara ke arah melahirkan modal insan yang berakhlak tinggi.

Bagaimanapun, Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (KKGAMB) mendakwa usaha tersebut boleh dilakukan sekiranya guru KAFA menerima sejumlah pendapatan yang wajar.

Sementara itu, Omar berkata, kurikulum KAFA sendiri harus disesuaikan dengan kurikulum mata pelajaran ‘Pendidikan Islam Sekolah Rendah’.

“Isi pelajaran terlalu banyak tetapi konten, diajar banyak pelajar tidak mampu mempraktikkan dalam amalan, sikap dan sahsiah mereka setiap hari. Kurikulum perlu seiring dengan pembentukan karakter dan akhlak yang tinggi,” jelas Timbalan Menteri,” katanya.

Pada masa sama, Kementerian Pendidikan boleh memperkenalkan premis untuk melaksanakan proses pengajaran yang lebih baik.

Jelasnya, kerajaan juga perlu pertimbangkan langkah sama yang dilakukan oleh kerajaan Selangor dan Johor iaitu membina premis khas.

“Kebanyakannya menggunakan premis yang disediakan oleh masjid dan surau yang mempunyai prasarana terhad untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan dengan sempurna.

“Cuma terdapat isu dari sudut pertanggungjawaban dari segi bil utiliti, kerosakan, kebersihan dan seumpamanya,” katanya.

Katanya, kerajaan juga perlu melakukan penambahbaikan dari sudut latihan dan skim perkhidmatan memandangkan kebanyakan guru KAFA tidak terlatih serta merupakan guru yang dilantik secara kontrak.

Tambahnya, jika sistem Pendidikan Islam tidak diubahselaraskan maka Pencapaian Hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan seperti disebutkan Timbalan Perdana Menteri akan terbantut.

“Jika kita mahu mencapai kemajuan modal, pembentukan karakter, sikap dan akhlak dengan sempurna maka perlu dipertingkatkan semula dari sudut setiap aspek,” ujarnya.

Previous Post Next Post