Sikap sambil lewa punca Bumiputera ketinggalan dalam pendidikan - Kajian

Dr Anuar Ahmad


PETALING JAYA: Sikap lewa antara sebahagian punca golongan Bumiputera tidak maju dalam pendidikan, menurut kajian pasukan Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Kongres Ekonomi Bumiputera dijalankan Januari dan Februari lalu.

Menyifatkannya sebagai membimbangkan, Timbalan Pengerusinya Anuar Ahmad berkata pelaburan besar dan penganjuran pelbagai program membangunkan pendidikan Bumiputera Melayu tidak akan berjaya jika sikap itu terus menebal.

Mengulas dapatan itu, Anuar berkata pihaknya telah menemubual secara mendalam dan bersemuka 600 peserta di kalangan orang Melayu di empat zon Semenanjung Malaysia dengan setiap daripadanya mengambil masa lima hingga enam jam.

Menurutnya, seramai 8,000 responden turut menjawab soal selidik secara dalam talian, selain 250 orang dikategorikan kepada 15 kumpulan pakar atau peneraju mengikut bidang termasuk pemimpin industri bukan Melayu.

“Sangat jelas masalah utama pendidikan di kalangan bumiputera Melayu adalah ‘sikap lewa’.

“Faktor lain seperti kemiskinan, tidak minat pada kurikulum Sains dan Matematik, kurang sokongan keluarga telah mengukuhkan lagi ‘sikap lewa’ sebahagian besar Bumiputera Melayu terhadap pentingnya pendidikan,” katanya di Facebook.

Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Kongres Ekonomi Bumiputera itu dipengerusikan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM) Noor Azlan Ghazali.

Namun katanya, bukan semua mempunyai sikap sedemikian dan mereka ini telah berusaha, akhirnya berjaya seperti dibuktikan 24 orang Melayu di luar negara yang telah ditemu bual menerusi perbincangan dalam talian.

“Jawapan mereka yang paling jelas adalah ‘untuk mereka berjaya di bumi perantauan, perkara pertama telah mereka lakukan ialah mengubah sikap dan berusaha keras untuk berjaya’.

Anuar berkongsi anak Melayu berjaya itu mempunyai pekerjaan baik di Lembah Silikon, Amerika Syarikat (AS), menjadi jurutera di kilang automotif terkenal di negara itu, berjaya dalam bidang perubatan di Jepun dan Australia, selain dilantik ketua jurutera di Dubai.

“Semua mereka bersetuju jika Melayu mahu maju pertama ubahlah sikap lewa dan bersungguh-sungguh berusaha mencari kejayaan dalam pendidikan.

“Jangan tunggu bantuan. Usahalah sendiri,” katanya.

Artikel Asal: Free Malaysia Today

Previous Post Next Post