BATU PAHAT: Misteri kehilangan seorang bakal calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak sebulan lalu dijangka terjawab selepas penemuan rangka manusia di tepi tebing Jalan Yong Peng, berdekatan Kompleks Penghulu Linau, di sini, hari ini.
Rangka itu ditemui pada tengah hari tadi bersama sebuah motosikal yang hampir serupa dengan yang digunakan oleh Hafiz Fauzan Abd Halid, 17, berdasarkan nombor pendaftaran yang telah disebut oleh keluarganya di media sosial selepas kehilangannya. Motosikal tersebut dijumpai tersangkut di celah batang pokok bersebelahan kebun durian. Turut ditemui adalah jaket dan topi keledar.
Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai penemuan rangka tersebut.
Hafiz Fauzan, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Parit Raja (SMAPR), dilaporkan hilang selepas keluar rumah pada malam 25 Mei lalu untuk menonton bola sepak bersama rakannya di Parit Ju, Tongkang Pechah.
Bapanya, Abd Halid Sugiman, 44, telah berusaha mencarinya termasuk meninjau beberapa jalan yang mungkin dilalui sepanjang Jalan Tongkang Pechah ke Parit Raja dan Jalan Sri Bengkal, namun tiada petunjuk ditemui. Bapanya bimbang kemungkinan anak ketiga daripada tujuh beradik itu terjatuh dalam parit.
Sejak itu, pelbagai usaha telah dilakukan oleh keluarga Hafiz Fauzan dengan bantuan rakan bapanya, namun mereka menemui jalan buntu. Hafiz Fauzan dilaporkan meminta izin daripada bapanya untuk menonton perlawanan akhir bola sepak dengan menunggang motosikal.
“Selepas menjemputnya, kami keluar makan bersama di Yong Peng dan tiba di rumah sekitar jam 10 malam. Dia pun minta izin keluar nak tonton final bola sepak di rumah rakannya,” kata bapanya.
Sumber berita: Buletin TV3