Pengarah JPN Sarawak diberi kuasa lulus projek, tapi lantik guru masih kuasa Putrajaya

Pengarah JPN Sarawak, Datuk Dr Azhar Ahmad


KUCHING: Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak sudah diberi kuasa untuk meluluskan projek menaik taraf sekolah daif tanpa had harga siling.

Bagaimanapun, kuasa melantik guru, masih kekal dibawah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan kemudian diserah kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk diagihkan kepada negeri-negeri.

Pengarah JPN Sarawak, Datuk Dr Azhar Ahmad ketika mengesahkannya hari ini berkata selain sekolah daif, beliau juga boleh meluluskan projek kecil lain.

"Jadi ini bermakna saya boleh meluluskan setiap projek kecil yang melibatkan sekolah, selagi ia dibiayai oleh kerajaan negeri atau pihak swasta tanpa harga siling atau batas.

"Projek yang dimaksudkan adalah menaik taraf sekolah daif, pembangunan kuaters guru dan penyenggaraan serta apa-apa sahaja projek kecil yang melibatkan sekolah di seluruh Sarawak.

"Saya telah menerima Surat Penurunan Kuasa oleh Menteri Pendidikan kepada Pengarah JPN Sarawak Untuk Memberi Kelulusan Kepada Permohonan Projek - Projek Pembangunan Yang Dibiayai selain Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Apresiasi Kecemerlangan Perperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di Auditorium JPN Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kekurangan guru di negeri ini, Azhar berkata masih ada lebih 2,000 kekurangan guru.

Katanya, kebanyakan kekurangan guru yang dialami adalah di sekolah rendah, manakala hanya terdapat 184 kekurangan guru untuk sekolah menengah.

Sehubungan itu, beliau juga menjelaskan JPN ketika ini masih lagi dalam proses mengisi kekosongan jawatan guru besar dan pengetua di beberapa sekolah di negeri ini.

"Kuasa melantik guru-guru adalah di tangan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, setelah dilantik mereka akan menyerahkan kepada KPM untuk diagihkan kepada negeri-negeri.

"Kemungkinan (untuk kuasa tersebut diserahkan kepada Pengarah JPN) itu saya tidak pasti, kita serahkan kepada pihak kerajaan untuk menentukan," jelasnya.

Penurunan kuasa pendidikan untuk meluluskan projek kecik telah diberikan kepada kerajaan Sarawak melalui pemberian kuasa Menteri Pendidikan di bawah Seksyen 28 dan 31 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) berkuat kuasa Mac 2024.

Perkara ini dinyatakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyatakan bahawa kelulusan permohonan untuk membaiki sekolah-sekolah daif perlu menggunakan peruntukan kerajaan Sarawak atau mana-mana pihak selain Kerajaan Persekutuan yang tertakluk kepada garis panduan yang dikeluarkan oleh KPM dari semasa ke semasa.

Keputusan itu sebenarnya dicapai pada satu mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) pada 22 Februari 2024 di Kuching yang dihadiri Fadhlina bersama Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn bagi membincangkan secara terperinci berkaitan tuntutan autonomi pendidikan yang dicadangkan oleh kerajaan Sarawak.

Selama ini kuasa untuk meluluskan projek, walaupun ia dibiayai oleh kerajaan Sarawak, terletak pada KPM di Putrajaya.

Ini telah menyebabkan kelewatan dalam proses kelulusan dan seterusnya pelaksanaan projek.

Previous Post Next Post