Pengambilan dan penempatan guru masih jadi masalah utama yang perlu penyelesaian segera

Roland di majlos Anugerah Pendidikan Sarawak 2024 di Kompleks Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Sarawak


PETRA JAYA: Sarawak masih berdepan cabaran untuk pengambilan dan penempatan guru yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin Kerajaan Persekutuan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, masih banyak kerja perlu dilakukan.

"Kita berdepan cabaran dalam pengambilan dan penempatan guru, kecekapan pengurusan projek infrastruktur dan penyediaan dana mencukupi untuk Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) bagi guru dan sekolah dari sebelah persekutuan.

"Kita menggesa pihak berkuasa berkaitan di persekutuan untuk menangani isu ini dengan serius," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Pendidikan Sarawak 2024 di Kompleks Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Sarawak di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak sudah diberi kuasa untuk meluluskan projek kecil melibatkan sekolah, selagi ia dibiayai oleh kerajaan Sarawak atau pihak swasta tanpa harga siling atau batas.

Projek yang dimaksudkan adalah menaik taraf sekolah daif, pembangunan kuaters guru dan penyenggaraan serta apa-apa sahaja projek kecil yang melibatkan sekolah di seluruh Sarawak.

Bagaimanapun, kuasa melantik guru, masih kekal dibawah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan kemudian diserah kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk diagihkan kepada negeri-negeri.

Roland Sagah berkata, pihaknya gembira kerana ada kemajuan berkisar kepada penurunan kuasa tertentu kepada JPN Sarawak.

"Desentralisasi ini membolehkan kita menangani keperluan unik pelajar dan sekolah," katanya.

Kerajaan Sarawak katanya, nekad untuk menuntut hak pendidikan seperti termasuk dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.

Beliau menjelaskan kerajaan Sarawak melalui kementeriannya komited untuk menangani isu sekolah daif bagi memastikan sistem pengajaran dan pembelajaran yang kondusif.

Katanya, ini penting kerana sekolah harus menjadi tempat yang selamat untuk pelajar dan guru boleh menyampaikan pelajaran dengan berkesan tanpa perlu risau tentang keadaan bilik darjah.

“Oleh itu, kami yakin bahawa persekitaran pembelajaran yang lebih baik akan membawa kepada peningkatan prestasi pendidikan.

“Kerajaan Sarawak akan terus mengutamakan dan menangani isu bangunan sekolah daif di negeri ini.

“Kami melabur dalam usaha pembaikan dan pembinaan semula untuk memastikan semua sekolah berada dalam keadaan selamat, selesa dan kondusif untuk pembelajaran,” katanya.

Oleh Mohd Neenatul Aizal

 

Previous Post Next Post