Pegawai Daerah syor sekolah adakan pilihanraya pemilihan Ketua Murid

Imej hiasan simulasi Pilihanraya yang diadakan di sekolah


BALING: Sistem pengundian pemilihan jawatan Ketua Murid, Ketua Belia dan sebagainya harus diperkenalkan kepada golongan muda bagi memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran murid sebagai persediaan menjadi pengundi selaras dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Akhbar Utusan Malaysia melaporkan, Pegawai Daerah Baling, Datuk Abdul Gafar Yahya dipetik sebagai berkata, melalui pilihan raya ia dapat mendedahkan muridkepada proses pelaksanaan sistem demokrasi.

"Pilihan raya sebegini merupakan satu pendedahan awal kepada murid, untuk mengetahui apakah itu amalan demokrasi, apa itu proses pemilihan kepimpinan, bagaimana memilih pemimpin, apakah peranan seorang pemimpin, etika dalam menghormati pilihan pengundi dan sebagainya. 

"Sebaiknya ia dimulakan dengan pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima ke atas dan saya syorkan semua sekolah menengah di daerah ini memulakan sistem ini mulai tahun 2025," kata Abdul Gafar pada Majlis Semarak Hari Belia Negara 2024 Peringkat Daerah Baling di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri, Kuala Ketil, baru-baru ini. 

Menurutnya, usaha ini harus dilakukan di semua sekolah menengah bagi meningkatkan kesedaran golongan murid sekolah terhadap perkembangan politik semasa ekoran daripada kejayaan kempen #Undi18 sebelum ini. 

"Pelaksanaan pilihan raya ini sesuai sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran kepada murid dan inisiatif ini tepat pada masanya. Ia boleh dimanfaatkan dalam mempersiapkan murid sekolah menengah untuk menyertai pilihan raya umum apabila tiba masanya nanti," kata Abdul Gafar.

Previous Post Next Post