Parlimen: Jumlah calon tidak hadir SPM 2023 menurun berbanding 2022

Hiasan


KUALA LUMPUR: Jumlah ketidakhadiran murid dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menurun kepada 1.2 peratus berbanding 2022, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata seramai 10,160 atau 2.6 peratus calon tidak hadir menduduki peperiksaan SPM 2023 berbanding dan 14,858 calon atau 3.8 peratus pada 2022.

“Jumlah calon tidak hadir SPM 2023 merangkumi 8,676 calon sekolah Kementerian Pendidikan (KPM), 1,263 calon persendirian dan baki 22 adalah calon lain termasuk sekolah agensi kerajaan, Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah Menengah Agama Rakyat dan sekolah swasta.

“Punca ketidakhadiran yang dikenal pasti antaranya ialah calon bekerja, masalah keluarga, kemalangan, sakit dan faktor yang lain,” katanya menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berkaitan tindakan Kementerian Pendidikan dalam mengatasi isu calon SPM tidak hadir peperiksaan. - BERNAMA

 

Previous Post Next Post