Nahas rombongan guru: Mangsa keempat meninggal dunia ketika menerima rawatan

Siasatan awal polis mendapati pemandu bas berkenaan gagal memberhentikan kenderaan lalu merempuh sebuah lori treler yang membawa muatan gelung besi, sebelum terbalik dan jatuh di cerun jalan.


KUANTAN: Seorang lagi penumpang bas yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat awal pagi Ahad, meninggal dunia, menjadikan jumlah mangsa yang maut akibat tragedi itu kepada empat orang.

Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Nor Azman Yusof, Dahlia Ahmad, 52 tahun, meninggal dunia pada pukul 9.15 malam ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Sebelum ini, tiga mangsa dilaporkan maut iaitu penumpang bas, Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan Jeram, Hasnatul Adilah Hassan, 48, ketika ditempat kejadian, pemandu kedua bas, Hadi Ashraf Mad Idris, 29, yang maut ketika dalam perjalanan ke hospital Muadzam Shah, dan Hamzah Ahmad, 60, pembantu operasi sekolah, maut ketika menerima rawatan di HTAA. 

Dalam kejadian tengah malam itu, sebuah bas yang membawa 39 orang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat dekat Simpang Tiga Bahau, Muadzam Shah.

Siasatan awal polis mendapati pemandu bas berkenaan gagal memberhentikan kenderaan lalu merempuh sebuah lori treler yang membawa muatan gelung besi, sebelum terbalik dan jatuh di cerun jalan. 

Bas berkenaan dikatakan dalam perjalanan membawa rombongan guru Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah, Melaka, menuju ke Terengganu bagi menghadiri program penanda aras.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof berkata berdasarkan siasatan awal mendapati pemandu bas berkenaan gagal memberhentikan kenderaan lalu merempuh treler tersebut.

 

Previous Post Next Post