Nahas rombongan guru: "Dia sempat video call saya" - Suami

Saifullizan (kiri) berkata sesuatu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Nazri Ahmad yang menemuinya di Unit Forensik Hospital Muadzam Shah di sini pada Ahad.


MUADZAM SHAH - Salah seorang mangsa maut dalam kemalangan bas persiaran membawa rombongan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka sempat membuat panggilan video bersama suami setengah jam sebelum bas dinaiki merempuh treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau di sini pada Ahad.

Suami mangsa, Saifullizan Abu, 53, yang bertugas sebagai guru berkata, isterinya, Hasnatul Adilah Hassan, 48, menghubunginya kira-kira jam 12 tengah malam memaklumkan rombongannya masih dalam perjalanan dan dia mahu tidur.

Menurutnya, ketika itu isterinya tidak pasti lokasinya kerana keadaan di luar gelap sebelum menamatkan panggilan.

"Saya hanya mengentahui tentang kejadian kira-kira jam 3 pagi selepas dihubungi seorang anaknya memberitahu isteri dan seorang lagi anak, Mohd Farouq, 12, yang ikut serta dalam rombongan itu terbabit kemalangan.

"Saya terkejut dan tidak menyangka kemalangan itu berlaku hingga meragut nyawanya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Muadzam Shah di sini pada Ahad.

Saifullizan berkata, kali terakhir mereka bertemui petang Sabtu di rumah sebelum isterinya, guru SK Jeram menyertai rombongan bertolak ke Terengganu untuk lawatan penanda aras sekolah.

"Jenazah isteri akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Masjid Tanah, Melaka untuk dikebumikan selepas selesai proses bedah siasat," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa yang terselamat, Asmaniza Mohamad, 50, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum dikejutkan akibat terhentak selepas bas dinaiki berpusing sebelum terbalik.

Dia yang berada di kerusi penumpang paling belakang berhampiran pintu kecemasan sesak nafas akibat dihempap penumpang lain yang tercampak selepas bas terbalik.

"Saya melonjakkan tubuh melepaskan diri dan segera mencari pintu keluar lain memandangkan pintu kecemasan tidak boleh dibuka.

"Allhamdulillah saya berjaya keluar dari bas melalui pintu bahagian bumbung," katanya.

Guru SK Jeram itu mendakwa, ketika berada di luar, dia ternampak mangsa, Hasnatul Adilah berada dalam keadaan tertiarap berhampiran pokok.

"Ketika itu ia masih sedar dan salah seorang rakan kami ajarnya mengucap.

"Dia (arwah) sempat tanya anaknya dan kami beritahu anaknya yang turut cedera masih dalam bas," katanya.

Nahas awal pagi itu mengorbankan dua penumpang dan pemandu kedua bas persiaran terbabit.

Selain Hasnatul Adilah, turut maut seorang lagi penumpang, Hamzah Ahmad, 60 dan pemandu kedua bas terbabit, Mohd Adi Hasan, 29.

Polis mengesahkan Hasnatul Adilah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Mohd Adi ketika dalam perjalanan ke Hospital Muadzam Shah.

Mangsa ketiga, Hamzah Ahmad,60, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Previous Post Next Post