Murid Tingkatan 1 Jatuh Dari Tingkat Lima Dilapor Meninggal Dunia



Murid tingkatan satu yang cedera parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebuah bangunan sekolah di Kajang pada Jumaat dilapor meninggal dunia, lapor Sinar Harian.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, mangsa yang berumur 13 tahun itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.30 pagi pada Sabtu.

Ujar Naazron, sebelum ini mangsa telah dikejarkan ke Hospital Kajang selepas kejadian itu berlaku bagi menerima rawatan lanjut akibat kecederaan parah yang dialaminya.

“Bedah siasat dijalankan terhadap mangsa mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan jatuh dari tempat yang tinggi.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes ini dengan lebih terperinci,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Orang ramai atau saksi diminta tampil bagi membantu siasatan

Tambah Naazron lagi, setakat ini polis telah memanggil lapan saksi untuk dirakam percakapan bagi sisatan berhubung insiden berkenaan.

“Siasatan di bawah Laporan Mati Mengejut ( SDR ) sedang dijalankan bersama siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Muhammad Faizal Azizi di talian 011-16120032 dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Selangor bagi membantu siasatan,” tambahnya lagi.

Terdahulu, media tempatan melaporkan seorang murid Tingkatan Satu mengalami kecederaan parah setelah dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebuah sekolah dekat Kajang.

 

Previous Post Next Post