Murid bukan Cina di SJKC meningkat, pengurusan sekolah dalam dilema

Imej hiasan 


SHAH ALAM - Berlaku trend peningkatan ibu bapa bukan Cina menghantar anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). 

Berdasarkan data Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) serta Kementerian Pendidikan (KPM), jumlah murid bukan Cina di SJKC pada 1989 seramai 17,309 bersamaan 3.05 peratus sebelum meningkat kepada 52,043 pada 1998 iaitu 8.66 peratus. 

Jumlah tersebut melonjak kepada 72,443 pada 2010 (11.84 peratus) dan 101,011 (19.75 peratus) pada 2020. 

SJKC menjadi pilihan atas beberapa faktor antaranya percaya sekolah itu mempunyai sistem pembelajaran dan disiplin murid yang baik dengan tenaga pengajar berkualiti. 

Selain yakin anak mereka bakal memperoleh banyak peluang tertentu sekiranya berjaya menguasai bahasa Cina, ramai ke SJKC kerana sekolah terletak berdekatan dengan kediaman. 

Ketika ini murid bukan Cina yang merangkumi Melayu, India, Orang Asli dan warga asing membentuk kira-kira 20 peratus daripada jumlah pendaftaran di SJKC seluruh negara. 

Namun, bagi murid-murid bukan Cina ini memasuki SJKC adalah sama dengan situasi memasuki persekitaran bukan kebiasaan. 

Mereka perlu bermula daripada awal untuk belajar dan menyesuaikan diri sama ada dari segi bahasa atau budaya baharu kerana bahasa Cina bukan bahasa pertuturan mereka. 

Halangan dalam pembelajaran bahasa dan masalah komunikasi dengan rakan sekelas adalah cabaran yang tidak dapat dielakkan. 

Murid bukan sahaja berhadapan pelbagai cabaran malah guru di sekolah turut alami situasi sama. 

Guru Besar SJK (C) Cheng Ming Keningau Sabah, Chee Sui Fung berkata, walaupun menghadapi kesulitan membaca dan menulis dengan kemajuan pembelajaran yang sangat perlahan, beberapa ibu bapa bukan Cina tidak terus memindahkan anak ke sekolah lain. 

“Ini kerana mereka sudah terbiasa dengan persekitaran belajar di SJKC dan murid-murid itu tidak mahu pindah begitu sahaja. 

“Sesetengah murid memilih untuk berpindah sekolah selepas setahun belajar sementara yang lain selepas empat hingga lima tahun," katanya. 

Katanya, pihak sekolah juga tidak meminta ibu bapa memindahkan anak-anak mereka ke sekolah lain sebaliknya guru akan berhubung dengan mereka bagi mencari penyelesaian berkaitan perkembangan pembelajaran murid. 

“Hanya apabila tiada pilihan lain, ibu bapa akan membuat keputusan untuk memindahkan anak,” ujarnya. 

Mengambil contoh situasi di SJKC Chung Hwa Kota Kinabalu, Guru Besarnya, Tai Nyit Wun berkata, penggantian murid berlaku kira-kira lima peratus setiap tahun dengan beberapa pelajar bukan Cina akan berpindah ke sekolah kebangsaan. 

“Kami galakkan dan menasihati tetapi tidak minta mereka untuk tarik diri daripada sekolah. 

“Selepas berbincang dengan ibu bapa, kami biarkan mereka cari sekolah yang sesuai untuk anak masing-masing,” katanya. 

Guru besar dalam dilema 

Dalam pada itu, Pengetua SJKC Peng Hwa, Kota Tinggi Johor, Sang Cze Leong berkata, pihak sekolah tidak dapat memantau murid mempraktikkan penggunaan bahasa Mandarin di rumah. 

Jelasnya, ia menyebabkan proses pembelajaran perlahan kerana murid tidak mempunyai persekitaran bahasa itu. 

“Saya sering galakkan ibu bapa untuk mencari bantuan luar dan mencadangkan supaya memulakan kelas bahasa Cina untuk ibu bapa di sekolah. 

“Apa yang boleh saya katakan respons dan tindakan daripada ibu bapa agak suam-suam kuku,” katanya. 

Ujar Cze Leong, sebelum Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan, pihak sekolah berusaha sepenuhnya bagi memastikan setiap murid lulus semua mata pelajaran. 

Pada ketika itu, pihak sekolah berharap agar murid yang tidak berkeupayaan supaya mencari jalan penyelesaian dengan berpindah ke sekolah kebangsaan secara sukarela demi kebaikan murid tersebut. 

“Namun ia tidak bermakna sekolah bersikap tidak ambil peduli. Sejujurnya, guru besar berada dalam dilema. 

“Kita tidak boleh secara jelas memberitahu ibu bapa kerana takut mereka salah faham seolah-olah kita memandang rendah dan mahu murid berpindah,” katanya. 

Namun ujarnya, selepas pemansuhan UPSR, murid di SJKC dapat mengikuti pembelajaran tanpa sebarang tekanan menghadapi peperiksaan penting itu. 

Selain itu, Guru Besar SJK (C) Chung Hien di Sarikei, Sarawak, Lei Kok Kien turut menyatakan segelintir murid bukan Cina mampu menghabiskan enam tahun persekolahan di SJKC tetapi disebabkan kesukaran bahasa Cina, mereka berputus asa. 

"Akibatnya, tahap penguasaan mereka kekal pada tahap perbualan mudah sahaja. 

"Ada sebilangan mereka yang didedahkan dengan bahasa Cina selepas tamat pengajian dan mereka masih mengekalkan loghat ketika menggunakan bahasa Mandarin," kata beliau. 

Katanya lagi, pendekatan diambil sekolah berkenaan bagi membantu murid adalah dengan mengadakan latihan mendengar, bertutur, membaca dan menulis berulang kali. 

"Murid-murid juga diatur untuk melakukan pembentangan sebanyak mungkin di dalam kelas untuk melatih mereka," jelasnya. 

Sekiranya murid bukan Cina berpindah ke kawasan yang tiada SJKC, mereka mungkin bertukar ke SK walaupun situasi tersebut jarang berlaku. 

Pihak sekolah turut menggalakkan ibu bapa mencari bantuan luar dan mencadangkan kelas bahasa Cina untuk ibu bapa di sekolah. 

Pihak sekolah turut menggalakkan ibu bapa mencari bantuan luar dan mencadangkan kelas bahasa Cina untuk ibu bapa di sekolah.

"Kesediaan murid bukan Cina menerima pendidikan Cina membanggakan kami kerana ia menunjukkan tentang kepentingan bahasa Cina," kata Kok Kien. 

Beliau turut menegaskan bahawa ramai Orang Asli di Sarawak boleh berbahasa Cina dan hampir semua pekerja bank di sana mempunyai pemahaman asas tentang bahasa berkenaan. 

Dalam pada itu, Guru Besar SJK (C) Kampung Baru Paroi di Seremban, Negeri Sembilan, Yee Chon Moi mengakui murid bukan Cina seronok belajar di SJKC. 

Beliau memperkenalkan program ‘Saya Belajar Mandarin’ untuk murid bukan Cina bagi Tahun Satu hingga Tiga dengan bantuan rakannya yang mengetuai tadika dan sedang membuat penyelidikan berkenaan pembelajaran bahasa itu oleh murid bukan Cina. 

Tambahnya lagi, program tersebut dilaksanakan dengan mengatur bahan pengajaran dan dialog membolehkan murid menjalani latihan selama tiga bulan secara percuma sebelum mengambil peperiksaan.


Sinar Harian | Laporan Khas
Previous Post Next Post