KPM laksana 50 projek bangunan tambahan untuk PPKI


PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melaksanakan 50 buah projek pembinaan bangunan tambahan di sekolah seluruh negara bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang dijangka siap menjelang 2027.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, KPM menjangkakan kira-kira 1,925 murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) akan menerima manfaat daripada projek-projek yang telah diluluskan.

“Bagi memastikan MBPK menerima pendidikan yang kondusif, KPM terus berusaha menambah baik ruang pembelajaran melalui ubah suai dan naik taraf kelas dan sekolah.

“KPM terus komited untuk memastikan akses dan ekuiti kepada pendidikan berkualiti menjadi agenda utama kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Tahun 2024 di sini hari ini.

Kah Woh berkata, menerusi peluasan PPKI pada sesi 2024, seramai 1,078 MBPK telah memperoleh manfaat di seluruh negara yang melibatkan sebanyak 149 buah sekolah dengan 154 kelas.

Jelasnya, ini kerana KPM mahu memastikan semua MBPK mempunyai ruang dan peluang untuk mendapatkan pendidikan berkualiti tinggi yang relevan dengan keperluan mereka. – KOSMO! ONLINE

Previous Post Next Post