Kenapa tak boleh rai murid cemerlang dalam SPM?

Imej via Bing Image Creator


"Hidup ini keras dik, SPM hanya permulaan jangan bangga sangat," komen sedemikian walaupun sebenarnya bertujuan baik untuk mengingatkan mengenai perjalanan hidup yang masih panjang namun ia juga bersifat negatif.

Malah terlalu banyak paparan mengenai 'kejayaan' seseorang tanpa memerlukan keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia tetapi mampu hidup mewah bertebaran di media sosial.

Meskipun tujuannya murni iaitu memberi semangat dan motivasi kepada pelajar yang tidak meraih keputusan cemerlang dalam SPM namun dalam masa sama, ia turut memberi bayangan seolah-olah pencapaian akademik tidak penting.

Apatah lagi dengan sikap beberapa pempengaruh yang menafikan kepentingan pendidikan dan pencapaian akademik, dunia media sosial juga melihat ramai pelajar memuat naik keputusan SPM yang gagal dengan rasa penuh bangga.

Dalam hal ini Pegawai Kaunselor Pendidikan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Raja Melewar, Mohammad Hazim Amir Nordin, berkata memang terdapat sesetengah ahli masyarakat yang berpandangan gagal atau cemerlang dalam peperiksaan SPM tidak penting.

Hal ini disebabkan masih banyak lagi peluang untuk mencipta perkembangan kerjaya.

Bagaimanapun tegas Mohammad Hazim, pelajar perlu ingat SPM adalah tapak asas untuk perkembangan kerjaya yang baik dan ia bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh.

Katanya, proses dan usaha untuk lulus serta cemerlang dalam peperiksaan ini sebenarnya membentuk jati diri serta daya tahan seseorang bagi menghadapi dunia pekerjaan ataupun peringkat pengajian tinggi selepas SPM dengan baik.

"Betul, sama ada anda ada SPM dengan keputusan buruk atau cemerlang, seseorang itu masih boleh bekerja.

"Namun dalam keadaan dunia semasa yang penuh dengan ketidaktentuan selain pasaran kerja yang semakin kompetatif, maka sekeping sijil dengan keputusan cemerlang sedikit sebanyak dapat membantu mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik," katanya.

Tambah Mohammad Hazim, kejayaan diperoleh juga adalah usaha pelajar itu sendiri yang bertungkus lumus tanpa mengenal penat lelah. Justeru, tidak salah untuk usaha itu dihargai.

" Untuk memperolehi sesebuah kejayaan ia bukanlah satu perkara yang mudah.

"Pelbagai cabaran dan rintangan yang perlu dilalui selepas melalui episod panjang selama 11 tahun di alam persekolahan.

"Jadi bagi pelajar yang berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang ia merupakan satu pencapaian yang perlu dibanggakan dan ia wajar diraikan," katanya.

Katanya, jika di sekolah pun acara meraikan kejayaan pelajar sama ada dalam akademik atau kegiatan kokurikulum memang sudah menjadi kebiasaan.

Ia adalah sebahagian usaha sekolah untuk meraikan semua bentuk kejayaan murid bertujuan bukan sekadar memberi anugerah tetapi turut menjadi motivasi dan teladan kepada pelajar lain untuk turut mengejar kecemerlangan.

"Setiap kejayaan sudah pasti ada ganjaran dan ia sudah menjadi kelaziman dalam semua bidang termasuk pekerjaan.

"Jadi isu mengenai kita mengangkat murid yang cemerlang ini tidak sepatutnya timbul," katanya.

Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Undang Syed Ali Al-Jufri, Jelebu, Azhar Awaludin turut senada dengan Mohammad Hazim yang menyifatkan pelajar dengan keputusan cemerlang wajar diraikan sebagai menghargai usaha mereka.

Malah ia sebenarnya juga membantu menaikkan prestasi dan reputasi sekolah. Justeru itu katanya, di mana-mana sekolah pun majlis penghargaan kecemerlangan sudah menjadi sebahagian acara tahunan.

Bagaimanapun katanya, di sebalik masyarakat meraikan kecemerlangan murid, tidak pun dinafikan hak pelajar kurang cemerlang.

Sebaliknya tegas Azhar, terlalu banyak inisiatif dan pelbagai bentuk bantuan diberikan kepada kelompok pelajar itu untuk turut sama mengejar kecemerlangan.

"Malah ia bermula di sekolah sendiri, misalnya guru kaunseling akan mendekati pelajar yang kurang berjaya dalam akademik ini bagi memastikan mereka mengetahui hala tuju selepas SPM selain memperoleh maklumat dan peluang pendidikan.

"Umumnya pelajar yang cemerlang tidak ada masalah kerana mereka sudah tahu apa yang perlu dibuat.

"Namun murid kurang cemerlang ini perlu bimbingan daripada guru kaunseling yang memainkan peranan penting memberi penerangan dan berkongsi maklumat mengenai apa yang perlu mereka lakukan," katanya.

Tegas Azhar, bagi pelajar kurang cemerlang terlalu banyak peluang pendidikan berbentuk kemahiran disediakan.

Katanya kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sahaja diajar dan disediakan di peringkat universiti awam, tetapi turut dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi pelbagai institusi kemahiran seperti Pusat Giat MARA atau kolej komuniti.

"Di institut sebegitu, pelajar bukan hanya mendapat pendedahan dan pendidikan berbentuk kemahiran malah dengan kelulusan yang ada mereka boleh menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi dalam atau luar negara.

"Malah ada yang turut menyediakan elaun dengan kos pengajian ditanggung," katanya.

Hal ini kata Azhar menjelaskan, pelajar dengan keputusan tidak memberangsangkan turut mempunyai peluang untuk mencipta kecemerlangan dan menikmati pendidikan secara berterusan.

Meskipun mungkin perjalanan mencipta kejayaan itu agak berliku-liku berbanding pelajar cemerlang, misalnya perlu memulakan dengan pengajian peringkat sijil atau diploma sebelum menyambung ijazah sarjana muda, tetapi ia membuktikan kejayaan adalah milik semua orang yang gigih berusaha justeru kemampuan memperolehnya wajar diraikan.

 

Previous Post Next Post