Selesaikan isu kemerosotan STEM, bukan nyanyi 'Bangau Oh Bangau'

Imej hiasan


Pendedahan eksklusif BH Ahad lalu mengenai sekurang-kurangnya enam program kejuruteraan di enam institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) termasuk dua kolej bekerjasama dengan dua universiti awam (UA) tidak lagi diakreditasi oleh Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC) berikutan pengambilan pelajar dibekukan akibat kemerosotan jumlah pemohon bukanlah berita yang kita inginkan.

Pada Februari lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika mengutarakan cadangan membenarkan graduan asing institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bekerja sementara di negara ini dalam bidang seperti sektor teknologi tinggi, melandaskannya kepada kekurangan tenaga mahir, contohnya industri elektrik dan elektronik memerlukan 50,000 jurutera sedangkan kita mampu menghasilkan 5,000 siswazah setahun.

Malangnya contoh diberikan Tengku Zafrul itu juga antara bidang terjejas seperti dilaporkan BH Ahad dengan memetik Lembaga Jurutera Malaysia (LJM). Selain Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dalam jurusan Elektrik dan Elektronik, ia juga membabitkan pengajian peringkat itu dalam bidang sistem komputer dan komunikasi, bahan kimia, kejuruteraan awam, elektronik dan pengkomputeran serta mekanikal.

Lebih membimbangkan, akar kepada isu ini berlaku peringkat sekolah lagi seperti ditegaskan Presiden Majlis Profesor (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose bahawa berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, hanya 15.2 peratus calon mengambil Sains Tulen dengan 70 peratus pula gagal atau memperoleh D dan E dalam Matematik Tambahan. Bagi sesi 2023/2024 hanya 62,250 daripada 415,000 pelajar Tingkatan Tiga di seluruh negara memilih aliran Sains untuk ke Tingkatan Empat, sekali gus merekodkan jumlah terendah dalam sejarah.

Malah jika dicerakinkan lagi, pelbagai faktor disebut sebagai punca kemerosotan jumlah murid dalam bidang STEM, antaranya kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih tertumpu kepada hafalan fakta serta formula, tarikan ekonomi gig dan trend pempengaruh media sosial, selain ekosistem pekerjaan tidak stabil dengan gaji permulaan rendah.

Kita percaya lebih banyak faktor boleh dikaitkan tetapi ia akan menjadi seperti menyanyi lagu Bangau Oh Bangau dengan setiap pemegang taruh menganggap puncanya adalah pada pihak satu lagi. Namun, berbeza dengan lagu rakyat itu yang akhirnya ular menjadi entiti tidak menyalahkan haiwan atau fenomena alam, isu genting kekurangan jurutera sangat diperlukan dalam usaha mengangkat negara menjadi 'harimau Asia' tidak akan menemukan penamat jika tidak ditangani secara holistik.

Justeru, kita mahu Kementerian Pelajaran (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan perhatian serius serta bertindak secara bersama, termasuk turut membabitkan kementerian berkaitan seperti Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan mengemukakan rangka pemulihan dan penyelesaian menyeluruh.

Ia bermula daripada PdP tepat untuk menyemai dan menyuburkan minat serta kemahiran murid dalam STEM hingga mewujudkan 'peta jalan' jelas bermula daripada pelajar di sekolah hingga siswazah dalam bidang STEM dengan jaminan kebolehpasaran dan pelbagai peluang pekerjaan serta ekosistem stabil, termasuk gaji bermaruah yang tentunya memerlukan input daripada pemegang taruh, termasuk industri sendiri.

Minda Pengarang Berita Harian 

Previous Post Next Post