Kaedah Menghafal Jejas Minat Pelajar Pilih Bidang STEM

Imej hiasan


Dalam era teknologi pesat, bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu menjadi tumpuan utama dalam pendidikan kerana ia penting untuk pembangunan ekonomi dan menawarkan peluang pekerjaan serta masa depan cerah bagi generasi muda. Namun, realiti di sekolah menunjukkan minat murid terhadap STEM semakin berkurangan. Adakah memang tidak berminat atau mungkin ada kaitan dengan metod peperiksaan yang menyebabkan minat dan keyakinan mereka berkurang?

Ramai murid sebenarnya menunjukkan minat mendalam terhadap aspek praktikal dan aplikasi sebenar dalam subjek STEM. Mereka teruja dengan eksperimen sains yang membolehkan mereka melihat konsep teori dalam tindakan, menyaksikan sendiri reaksi kimia, fenomena fizik, dan proses biologi. Misalnya, bagaimana hendak mengaplikasi teori yang dipelajari bagi menyelesaikan masalah di dunia sebenar. Walaupun murid berminat dalam STEM, metode peperiksaan yang menekankan hafalan menyebabkan mereka takut memilih bidang ini. Mereka bimbang gagal kerana peperiksaan memerlukan mereka menghafal terlalu banyak maklumat dalam jangka masa singkat.

Ini sangat merugikan, kerana bukan sahaja menjejaskan minat murid terhadap STEM, bahkan menghalang mereka mencapai potensi sebenar dalam bidang penting untuk pembangunan teknologi dan inovasi. Murid yang sepatutnya boleh menjadi saintis, jurutera atau ahli teknologi berjaya mungkin mengelak bidang ini kerana bimbang gagal dalam peperiksaan yang terlalu berorientasikan hafalan. Murid juga berminat dalam projek kejuruteraan yang menuntut kreativiti dan inovasi, seperti membina model robot, merancang sistem tenaga lestari atau mencipta aplikasi perisian untuk menyelesaikan masalah harian. Namun, apabila subjek ini diajarkan semata-mata untuk memenuhi keperluan peperiksaan konvensional yang terlalu berorientasikan hafalan dan pengulangan, minat itu mulai pudar.

Peperiksaan konvensional biasanya menekankan hafalan fakta dan formula tanpa memberi peluang mencukupi untuk murid meneroka serta memahami konsep secara mendalam. Murid terpaksa menghabiskan banyak masa mengulang kaji nota dan melengkapkan latihan yang berfokus pada soalan peperiksaan, tetapi tidak memberi ruang untuk menzahirkan kreativiti atau pemikiran kritikal. Justeru, untuk meningkatkan keyakinan dan memastikan generasi mahir STEM serta mampu bersaing pada peringkat global, kita perlu mengubah pendekatan terhadap penilaian akademik.

Dengan memperkenalkan metode penilaian yang lebih kontemporari, suasana pembelajaran yang lebih menarik dan bermakna akan wujud. Murid lebih bermotivasi meneroka dan memahami subjek STEM, bukan hanya untuk lulus peperiksaan, tetapi benar-benar berminat dan teruja dengan bidang itu. Dalam hal ini, penyelidik di universiti berperanan mencari metode penilaian yang lebih sesuai, praktikal dan memastikan kebolehpercayaan serta penilaian tidak terjejas. Kajian mendalam diperlukan untuk menilai keberkesanan kaedah baharu dan memastikan ia memberikan gambaran tepat serta adil terhadap kemampuan murid.

Anggapan bahawa murid kurang berminat terhadap STEM adalah tidak tepat. Sebaliknya, kebanyakan menunjukkan minat mendalam kepada aspek praktikal dan aplikasi sebenar dalam subjek STEM. Namun, kecenderungan mereka mengelak bidang ini berpunca daripada kebimbangan gagal dalam peperiksaan standard yang terlalu berorientasikan hafalan maklumat. Oleh itu, penting untuk mencari metode penilaian baharu yang lebih bermakna dan relevan untuk menangani isu ini. Penyelidikan yang dijalankan penyelidik di universiti perlu difokuskan pada pembangunan kaedah penilaian yang tidak hanya menilai pemahaman teori tetapi aplikasi praktikal, tanpa mengorbankan kebolehpercayaan dan kepentingan peperiksaan.

Ini dapat membantu meningkatkan minat dan motivasi murid terhadap bidang STEM, sekaligus memastikan sistem pendidikan kita mampu melahirkan generasi cemerlang dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Artikel oleh Dr. Ahmad Zamzuri Mohammad Ali, Profesor di Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Previous Post Next Post