Jangan jadikan Matematik sebagai satu subjek yang menakutkan

Imej hiasan


Analisis terhadap dakwaan pelbagai pihak yang menyatakan pencapaian subjek seperti Matematik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini menurun dianggap kurang tepat. Sebaliknya, berlaku peningkatan yang wajar dari tahun ke tahun bagi subjek tersebut sesuai dengan polisi dan dasar semasa.

Hal ini dikongsikan oleh Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Nik Muhammad Hanis Nik Rakami, yang menyebut, sebenarnya berlaku peningkatan bagi pencapaian subjek Matematik dalam SPM 2023.

Katanya, trend peningkatan itu juga semakin meninggi dari tahun ke tahun sekali gus membuktikan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta guru-guru selain sokongan ibu bapa.

"Kita perlu ingat bahawa bermula tahun 2021, 50 peratus soalan peperiksaan SPM adalah soalan yang memerlukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) atau dalam bahasa yang lebih mudah difahami masyarakat, aras soalan susah.

"Bila bercakap mengenai KBAT, ia adalah keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi serta berupaya mencipta sesuatu.

"Kata mudahnya, KBAT adalah satu cabaran kepada pelajar," tegasnya.

Oleh yang demikian, tegas Muhammad Nik Hanis, pelajar bukan sahaja perlu menjawab soalan berdasarkan cara kebiasaan sebaliknya mereka juga perlu berfikir bagaimana mahu menyelesaikan soalan di luar kotak.

Bagaimanapun, tegas beliau, pada masa sama, semua pihak termasuk KPM tidak boleh mengambil mudah jumlah pelajar yang memperoleh sekadar lulus dengan gred D atau E atau mereka yang gagal.

Hal ini katanya disebabkan secara keseluruhannya, gabungan angka kedua-dua kelompok itu mewakili jumlah yang lebih besar, iaitu melebihi 50 peratus daripada jumlah calon tiga tahun berturut-turut.

Nik Muhammad Hanis berkata, dapatan data menunjukkan bagi SPM 2023, 23.2 peratus daripada 369,425 calon gagal, manakala yang lulus dengan keputusan D dan E adalah 28.9 peratus. Pada tahun 2022 pula seramai 24.3 peratus gagal Matematik daripada 369,348 calon, manakala yang lulus dengan keputusan D dan E adalah 29 peratus. Jika kita lihat pada 2021 pula, 25.5 peratus daripada 369,425 pelajar gagal, manakala yang lulus dengan keputusan D dan E adalah 29.6% dengan calon yang lebih ramai iaitu 375,997 calon.

Hal ini menjelaskan, ada berlaku peningkatan bagi keseluruhan pencapaian dalam subjek Matematik. Namun jumlah mereka yang mendapat keputusan lulus D dan E serta gagal bagi ketiga-tiga tahun 2021, 2022 dan 2023 masih lagi tinggi dan hal ini secara jelas memerlukan perhatian KPM untuk mengatasi masalah berkenaan.

Nik Muhammad Hanis berkata, beliau percaya KPM dan pakar-pakar bidang Matematik serta pemegang taruh perlu mengambil tindakan bijaksana dalam melakukan kajian terperinci mengenai hal ini kerana trend bagi mata pelajaran Matematik adalah pada tahap serupa untuk tiga tahun berturut-turut.

Jelasnya, katanya ini bukanlah masanya untuk menunding jari mencari salah siapa, tetapi adalah waktu bagi semua pihak bekerjasama mencari penyelesaian.

Jangan Takutkan Murid

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Abd Hadi Bunyamin berkata, asas Matematik yang kukuh dapat membentuk kemahiran minda bagi menyelesaikan masalah, dan ia membantu seseorang untuk mempunyai strategi penyelesaian masalah secara sistematik.

Hal ini katanya, boleh membantu pelajar di dalam dunia pekerjaan kelak. Bagaimanapun ia bergantung kepada jenis pekerjaan.

"Misalnya, jika ada syarat pekerjaan mesti lulus Matematik dalam SPM, peluang untuk mendapatkan pekerjaan itu boleh terjejas walaupun bagus dalam mata pelajaran lain.

"Namun, saya kurang setuju apabila ada yang mengatakan peluang mereka tertutup rapat terus kerana gagal Matematik dalam SPM.

"Kelemahan dalam subjek itu boleh diatasi jika asas Matematik diperkukuhkan seterusnya boleh mengambil semula peperiksaan ulangan," katanya.

Justeru tegas beliau, pandangan gagal dalam Matematik bermaksud akan menutup semua peluang tidak boleh diambil kira kerana ada profesion tertentu tidak pun memerlukan lulus Matematik.

Namun katanya, sekiranya ada asas Matematik ia akan membantu pemikiran logik, sistematik dan berfokus kepada penyelesaian sesuatu masalah.

Muhammad Abd Hadi berkata, KPM juga harus buat intervensi khas mengenai isu Matematik ini termasuk sesi libat urus bagi melihat apa yang ada di sebalik kegagalan ramai calon dalam subjek ini.

Hal ini penting bagi memastikan peratusan semasa dapat diperbaiki.

"Selain itu, peranan guru juga antara faktor bagaimana menjadikan mata pelajaran itu diminati pelajar.

"Jangan jadikan subjek itu begitu menakutkan terutama apabila pelajar didenda sekiranya gagal menjawab soalan.

"Sebaliknya guru perlu mempunyai strategi pengajaran yang lebih mendekatkan pelajar dengan Matematik dalam kehidupan sebenar atau lebih dikenali pembelajaran kontekstual," katanya.

Previous Post Next Post