Nik Nurhayati menunjukkan gambar Muhammad Danish yang sudah hilang selama 12 hari ketika ditemui pemberita di Taman Musytari, Batu Kikir, hari ini. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/ KOSMO! |
JEMPOL – Sepasang suami isteri tidak lena tidur apabila anak sulung daripada empat beradik hilang dari asrama sekolah sejak 9 Jun lalu.
Nik Nurhayati Nik Mohd. Marzuki, 33, berkata, anaknya itu, , Muhammad Danish Darwish Dasuki Muhammad Addam, 13, sebelum ini tidak pernah menghilangkan diri.
“Kali terakhir saya jumpa dengan anak di asrama iaitu petang Ahad sebelum kehilangannya.
“Dia tidak ceria serta banyak termenung. Dia beritahu telah terpilih wakil sekolah dalam sukan lontar peluru tanpa memandang saya,” katanya ketika ditemui di Taman Musytari, Batu Kikir, di sini, hari ini.
Muhammad Addam Wahab, 30, pula berkata, isterinya itu terpaksa mengambil cuti tanpa gaji kerana sejak hari pertama dimaklumkan kehilangan anak, mereka telah melakukan pencarian di kawasan Rembau, Tampin, Seremban, Kuala Lumpur dan Selangor.
Menurutnya, ada individu yang mendakwa ternampak Muhammad Danish di hentian bas Rembau dan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
“Semua lokasi yang dimaklumkan kami pergi, tetapi tak jumpa. Kami harap dia dapat ditemukan dalam keadaan selamat, tidak kisahlah apa pun alasannya dia bertindak demikian, kami tidak akan marah,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Danish sila hubungi ibu bapanya di talian 011-11326212 atau 016-9593028. – KOSMO! ONLINE