Hilang minat punca utama guru bersara awal

Imej hiasan


KUALA LUMPUR: Tidak lagi berminat meneruskan kerjaya, dikenal pasti punca utama ribuan guru memilih untuk bersara awal sejak tiga tahun lalu, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata keadaan itu mewakili 72.36 peratus daripada 4,300 hingga 6,300 guru yang memilih untuk bersara awal bagi tempoh sama.

"Faktor keluarga juga dikenal pasti sebagai punca lain keadaan berkenaan, membabitkan 15.21 peratus daripada jumlah guru yang memilih untuk bersara awal.

"Seterusnya, faktor kesihatan mewakili 6.96 peratus guru memilih bersara awal, diikuti beban tugas (3.82 peratus) dan masalah peribadi (1.64 peratus)," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai bilangan guru bersara pilihan serta punca persaraan mereka.

Mengenai urusan pengambilan guru baharu, Fadhlina berkata, ia dibuat berdasarkan kekosongan jawatan dan keperluan opsyen subjek yang diperlukan Kementerian Pendidikan (KPM).

Ini kerana, katanya, KPM sentiasa memastikan keperluan guru mengikut opsyen subjek mencukupi bagi memastikan setiap murid dapat menjalani proses pembelajaran optimum.

"Seramai 20,171 guru baharu dilantik secara tetap dan 'Contract of Service' (CoS) tahun lalu, dan ini adalah pelantikan tertinggi pernah dicapai KPM yang dilaksanakan dalam tempoh setahun.

"Urusan pengambilan guru baharu tahun ini, sudah bermula dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sudah mengeluarkan iklan mengenainya pada 1 hingga 26 April lalu.

"SPP sedang melaksanakan tapisan ke atas permohonan yang diterima dan urusan temu duga dijangka bermula pada pertengahan Julai ini," kata Ahli Parlimen Nibong Tebal dari PKR itu.

Previous Post Next Post