Hapus tahap gred purata Bahasa Melayu untuk laksana DLP - PAGE

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim


PETALING JAYA: Kerajaan digesa menghapuskan tahap gred purata mata pelajaran (GPMP) bahasa Melayu bagi membolehkan program dwibahasa (DLP) dilaksanakan di semua sekolah kebangsaan.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) seharusnya menyokong dan membantu sekolah yang tidak memenuhi GPMP supaya ia berpeluang menyertai program DLP.

“Sekolah-sekolah kebangsaan inilah yang majoritinya anak Melayu yang sepatutnya diberi peluang untuk DLP demi memajukan mereka.

“Malahan, DLP bercita-cita untuk menaikkan kesejahteraan anak Melayu dan memberi mereka peluang kehidupan untuk berganjak daripada perangkap kemiskinan,” katanya dalam kenyataan.

Mengikut amalan sejak 2016, sekolah dibenarkan memilih melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, arahan baharu meminta sekolah memastikan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda sebagai pengantar dan mereka perlu menunjukkan prestasi bahasa Melayu yang memenuhi piawaian purata kebangsaan.

Azimah turut merujuk keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 baru-baru ini yang mendedahkan 9,306 pelajar gagal subjek bahasa Melayu manakala lebih 40,000 gagal bahasa Inggeris.

Jelasnya, ketika ini hanya 10% daripada sekolah rendah di Sabah dan Semenanjung menawarkan DLP dan kebanyakan yang menawarkannya, hanya satu kelas diperuntukkan bagi program itu.

“Kini pula KPM mahu menutup kelas DLP yang sudah begitu sikit secara paksaan. Bilangan sekolah yang ada DLP ini, baik diabaikanlah sahaja, tidak perlu dibanggakan oleh KPM.

“Sebaliknya, banggakah pejuang bahasa yang nampaknya ‘meroyan’ menghalang anak Melayu daripada membuat pilihan mereka yang mahukan DLP,” katanya.

Artikel asal: Free Malaysia Today

Previous Post Next Post