Guru besar maut dilanggar kereta terbabas

Keadaan kenderaan yang remuk selepas terbabit kemalangan pada Selasa.

KUALA KRAI - Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain yang terbabas dalam kemalangan di Taman Damar, Kilometer 71, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, di sini, pada Selasa.

Mangsa, Ahmad Anuar Ghazali, 52, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di daerah itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden, Mazlan Mamat berkata, kejadian berlaku pada 6.50 pagi melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dan Perodua Myvi.

Menurut beliau, siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Myvi dipandu oleh seorang doktor lelaki tempatan berusia 26 tahun dari arah Gua Musang menghala ke Tanah Merah.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu Perodua Myvi terbabit gagal mengawal kenderaan sehingga masuk ke laluan bertentangan.

“Disebabkan jarak terlalu dekat, kenderaannya bertembung dengan Perodua Kelisa yang dipandu oleh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, pada Selasa.

Ujar beliau, Ahmad Anuar yang mengalami kecederaan paran dan meninggal dunia manakala pemandu Perodua Myvi luka dan sakit di bahagian dada juga menerima rawatan di HSIP.

“Siasatan terperinci diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik Kuala Krai bagi membantu siasatan,” katanya.

 

Previous Post Next Post